Dan sekarang ramai yang bercakap mengenai janji 100 hari PH. Pemimpin dan penyokong BN mengungkit kembali manifesto yang dibuat PH sebelum ini. Ada di antara rakyat khususnya penyokong atas pagar juga mengikut rentak ini. Penuh di dinding Facebook mengenai tuntutan tersebut.
Namun apakah usaha meng­ungkit itu memberi kesan kepada kerajaan hari ini atau sokongan terhadap BN kembali meningkat?

Jawapannya tidak ada parameter yang jelas untuk mengukur kesan tersebut, tetapi yang pasti PH masih di Putrajaya dan mempu­nyai mandat selama 1,725 hari lagi. 

Oleh itu, laksana atau tidak janji tersebut, kerajaan akan tetap berjalan seperti biasa kecuali sesuatu yang amat luar biasa berlaku dan perkara itu sukar untuk terjadi kerana rakyat Malaysia matang dan menghargai keamanan
.
Justeru, BN harus menerima hakikat mereka perlu menunggu lagi untuk kembali semula ke Putrjaya dan itu pun kalau berjaya menangani semua masalah berbangkit. 

Punca utama kekalahan BN adalah defisit kepercayaan rakyat. Kepercayaan itu luntur disebabkan banyak perkara. Kelemahan dalam tadbir urus sebelum ini serta kejayaan PH mempengaruhi rakyat untuk percaya dengan segala macam cerita yang dilontarkan, sama ada benar atau ditokok untuk menjadi halwa yang enak ditelan jiwa. 

Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Damansara, Mohamad Fakhzan Md. Noor dalam kertas kerjanya yang bertajuk UMNO Pasca PRU-14: Ke Mana Hala Tuju, BN mengalami defisit kepercayaan disebabkan pelbagai faktor antaranya adalah tidak memahami psikologi pengundi. 

“Memetik buku The Myth of Rational Voters oleh Bryan Cap­lan. Rakyat mengundi kerana logik atau emosi? Jawapannya ialah emosi. Trump membakar emosi. Ahli politik muda Austria, Sebastian Kurz juga bermain politik emosi membangkitkan nostalgia silam, elemen superiority dan nasiona­lisme antaranya. Ahli politik ber­usia 93 tahun pun bermain emosi menarik simpati,” kata peguam muda itu. 

Emosi ini membentuk perubahan pemikiran yang mencipta kepercayaan baharu untuk menolak logik yang selama ini diyakini. Selepas 100 hari, di manakah UMNO dan BN? Apa yang dilakukan oleh parti itu untuk memulihkan kepercayaan. Jawapannya masih samar. Parti itu hanya banyak bercakap mengenai kelemahan lawan tetapi diri sendiri tidak menunjukkan perubahan yang ketara. 

Paling menyedihkan apabila ada di antara mereka mengeluarkan teori-teori untuk mengambil alih pemerintahan melalui pintu belakang. Malah tanpa rasa canggung menjaja cerita akan bergabung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetepikan Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Dalam masa sama pula menagih simpati Pas. Di rodong-rodongnya hidung dan pipi kepada bekas seteru utama itu bagi menagih ihsan walaupun parti itu seperti acuh tidak acuh. Memang benar UMNO dan Pas perlu bekerjasama tetapi janganlah sampai kelihatan perigi yang mencari timba. Biar duduk bincang dengan kemas dan molek. 

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, golongan muda menolak UMNO dan BN. Jika di negeri pantai Barat mereka memilih PH, di kawasan majoriti Melayu khususnya di pantai Timur dan Kedah, anak muda ini memilih Pas. Ini realiti dan UMNO hanya menjadi parti untuk orang tua. 

Pun begitu, UMNO dan BN telah menunjukkan kebolehannya. Di Dewan Rakyat, ahli-ahli Parlimen BN berjaya menjadi pembangkang yang konstruktif. 

Paling ketara perubahan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang dahulu diejek kerana kenyataan-kenyataannya mempertahankan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi sekarang hujahnya semakin bernas dan sukar dipatahkan. 

Kata bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, “Ada aku kisah apa korang cakap”.

Begitu juga dengan bekas-bekas menteri lain. Mereka boleh berbahas dengan baik. Namun itu tidak cukup untuk mengubah persepsi rakyat kerana UMNO dan BN kelihatan terlalu buruk. 

Jadi bagaimana untuk meng­ubah segala yang berlaku. Pertama, lakukan kajian mendalam melalui badan-badan bebas dan usah dipekak telinga terhadap perkara-perkara yang kurang enak. 

Kata Mohamad Fakhzan, UMNO harus melihat politik secara partikal dan emprikal dan bukan retorik semata-mata malah beliau menyifatkan hasil kajian impirikal Institut Kajian Asia Tenggara (ISEAS) yang berpangkalan di Si­ngapura tidak boleh dipandang ringan. Antara kertas kajian ISEAS yang signifikan berkaitan politik Malaysia sebelum PRU-14 dan wajar dihadam ialah: 

a) Pola pengundi luar bandar Malaysia. 

b) Pola pegundi bandar. 

c) Media sosial dan politik Malaysia. 

d) Pola pengundi Felda. 
e) Pendapatan isi rumah dan pengaruh terhadap undi. 

f) Analisis Selangor 

Malah Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH, Datuk Dr. Rais Hussin mendedahkan bagaimana mereka melakukan kajian sebe­lum tindakan diambil untuk mencipta gelombang dan menang dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu. Berlapis-lapis, kuantitatif dan kualitatif. 

Kedua, transformasi kepemim­pinan harus dilakukan de­ngan tuntas. Jujurnya, pemilihan UMNO baru-baru ini tidak memberikan impak besar. 

Rakyat masih melihat UMNO masih begitu, kurang lebih seperti dahulu. UMNO seolah-olah masih terperangkap dengan kerangka lama, hanya mahu memuaskan hati ahli dan bukannya rakyat. 

Pemimpin yang dipilih hanya untuk parti itu dan bukannya yang diterima rakyat atas alasan muka baharu tidak tahu itu dan ini. 

Justeru, ketiga, UMNO harus menampilkan pemimpin muda, bersih dan terpelajar untuk memulihkan semula defisit kepercayaan. 100 hari berlalu, tidak ada banyak yang boleh diperkatakan. Ya, PH gagal untuk melaksanakan 10 manifestonya tetapi itu tidak memberikan kesan. Rakyat masih terbuai-buai dengan ‘kekasih’ baharu mereka. Katalah apa pun, masuk telinga kiri keluar telinga kanan. 

Tugas UMNO dan BN amat berat tika ini. Bina kembali kekuatan diri dan jangan terlalu berharap dengan kelemahan PH atau bergantung dengan talian hayat daripada pihak-pihak lain.

Akhbar Rakyat