Tumpang sekole.
"ANA DATANG TEMPAT ENTE, JANGAN PULA ENTE TAK DATANG KE TEMPAT ANA"
“Ana akan datang ke Muktamar Agung Pas,” kata Presiden UMNO, Zahid Hamidi.
“Ana juga akan bawa timbalan presiden, naib-naib presiden, setiausaha agung, ketua pemuda dan yang lain-lain,” tambah Zahid Hamidi lagi yang sejak sekian lama menghilang diri dan tiada khabar berita, tapi muncul buat kali pertama dalam kempen di Seri Setia, semalam.
Dengan berjanji “ana akan datang itu”, dalam hati Zahid Hamidi tentunya terpahat harapan kepada Hadi Awang yang maksud tepatnya, “ente jangan lupa pula datang ke Perhimpunan Agung UMNO di PWTC nanti.”
“Kalau boleh bawalah juga lain-lain pemimpin kanan Pas yang lain, kalau boleh termasuk anak Allahyarham Nik Aziz Nik Mat iaitu Nik Abduh,” barangkali inilah juga harapan yang ada dalam hati Zahid Hamidi.
Muktamar Pas tahun ini akan diadakan hujung minggu depan di Kuala Terengganu, manakala Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung pada hujung bulan ini di PWTC, Kuala Lumpur.
Logiknya, jika Zahid Hamidi sudah sudi hadir ke Muktamar Pas, maka Hadi Awang juga wajib membalasnya dengan turut hadir ke Perhimpunan Agung UMNO.
Kalau Zahid Hamidi membawa pemimpin-pemimpin kanan UMNO bersamanya, maka Hadi Awang juga mestilah diiringi oleh pemimpin-pemimpin kanannya sama.
Jangan pula nanti setelah Zahid Hamidi hadir bersama delegasi pemimpin kanannya, Hadi Awang hanya mewakilkan dirinya kepada Tuan Ibrahim Tuan Man, Mustaffa Ali atau sesiapa yang lain.
Kecil hati Zahid Hamidi kalau begitu jadinya!
Harapan Zahid Hamidi seterusnya selepas “ana datang ke tempat ente dan kemudian ente pula hadir ke tempat ana,” tentulah mahu melihat berlangsungnya “perkahwinan” UMNO dengan Pas.
Kira-kira kata-kata Zahid Hamidi - “Tuan Guru Hadi, takkan kita nak biarkan saja UMNO dan Pas bebas berkawan tanpa ikatan apa-apa.
“Tak manis dipandang orang dan ramai pula nanti yang keliru dibuatnya.
“Kalau dapat “dikahwinkan” UMNO dan Pas ini bukankah lebih elok jadinya?”
“Tiada masalah lagi kalau nak berpeluk, berpegang tangan atau bergandingan di pentas-pentas ceramah selepas itu.”
Zahid Hamidi selanjutnya tentu juga berharap begini:
“Lagi pun Tok Guru, UMNO bukan ada kawan yang lain lagi. Begitu juga dengan Pas, bukan ada sesiapa pun selain UMNO nak berkawan dengan Pas sekarang ini.
“Hanya UMNO yang nak berkawan dengan Pas dan hanya Pas yang nak berkawan dengan UMNO.
“Maka, eloklah kita kahwinkan saja parti kita ini.”
Di Marang Terengganu, Hadi Awang tiba-tiba dikatakan tak berapa lena tidurnya sejak Zahid Hamidi mengatakan “ana akan datang ke Muktamar Pas” bersama rombongan pemimpin kanan UMNO pada hujung minggu depan.
Di dalam hati Hadi masih mencari-cari jawapan - “ana nak pijakkan kaki ke PWTC atau cukup dengan menghantar wakil seperti Tuan Ibrahim dan Stopa Ali saja?” (ShahbudinHusin 08/09/2018)
No comments:
Post a Comment