Bersatu, terimalah pelarian Umno sebagai hadiah ikhlas kami
Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerima bekas wakil rakyat Umno.
Kata Mohamed Khaled, golongan "pelarian Umno" itu adalah virus yang akan merosakkan Bersatu seperti mana ia "membarah" dalam Umno sebelum ini.
"Kepada Bersatu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih sedalamnya kepada anda. Terimalah ahli-ahli Umno yang telah berpindah ke Bersatu sebagai hadiah ikhlas dari kami semua.
"Percayalah, pemergian ahli Umno dan kemasukan mereka ke dalam Bersatu tidak akan membuatkan kami hilang tidur. Sebaliknya, mereka pasti akan membuatkan kalian berjaga malam.
"Kerana mereka adalah virus yang selama ini menyakiti dan merosakkan Umno. Dan virus, biar di mana pun mereka berada, pasti akan membawa sakit dan rebah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 12 Dis lalu sekumpulan wakil rakyat dan pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti dan mengisytiharkan mereka sebagai wakil rakyat bebas.
Ia membabitkan lima Anggota Parlimen dan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta 21 Ketua Umno Bahagian dan dua senator keluar parti dengan alasan Umno kini tiada hala tuju.
Malah wakil rakyat yang keluar parti itu juga turut menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Kemudian ia disusuli dengan enam lagi Anggota Parlimen Umno bertindak keluar parti yang diketuai Anggota Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin.
Selain Hamzah, lima lagi anggota Parlimen yang meninggalkan Umno termasuk Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid; Anggota Parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad; Anggota Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Anggota Parlimen Sabak Bernam, Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Anggota Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Kemelut itu juga menyaksikan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk berehat dan menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan.
Sementara itu, Mohamed Khaled menambah, beliau yakin dalam sedikit masa lagi "pelarian Umno" itu akan menjadikan Bersatu itu seperti Umno.
"Gelarlah ia Bersatu, tetapi sebenarnya, ia adalah Umno 2.0 atau 3.0. Nama bukan sesuatu yang penting.
"Mereka akan bawa bersama mereka budaya politik naugan dan wang. Mereka akan mencari segala kesempatan dan ruang bukan untuk berjuang, tetapi mengaut manfaat untuk diri mereka.
"Sedikit demi sedikit, Bersatu akan diambil alih. Sedikit demi sedikit, yang ‘Bersatu’ akan ‘Berpecah’. Bersatu akan menyaksikan kem-kem baharu, kem ahli sejati dan pejuang asal Bersatu dan kem ‘pendatang’ dan ahli bawaan alumni Umno," katanya lagi.
mk.
No comments:
Post a Comment