Tumpang sekole.
MUHYIDDIN BAKAL 'TERBUNUH' BERSAMA ANWAR?
“Kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu adalah bagus kerana ia akan menjadikan Pakatan Harapan sebuah kerajaan yang lebih Melayu berbanding sebelumnya.”
“Sekurang-kurangnya dengan semakin ramai Ahli Parlimen UMNO beralih kepada Bersatu, kuasa DAP dapat diimbangi dalam Pakatan Harapan.”
“Janganlah gelabah, dengan kemasukan Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu, Tun Mahathir Mohamad hanya bertujuan memperolehi majoriti dua pertiga dalam Parlimen supaya pindaan undang-undang ke arah kebaikan rakyat dapat dilaksanakan”.
“Kita kena percaya kepada Tun Mahathir, beliau tahu apa yang dibuatnya dan tentu untuk kebaikan negara”.
Di atas adalah hujah-hujah yang biasa kedengaran kebelakangan ini sejak seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO bertindak meninggalkan parti itu dan sebahagiannya telah pun diterima sebagai ahli Bersatu.
Sekali pandang, memang ternampak murni semua hujah-hujah tersebut, tetapi apakah benar setakat itu saja kewajaran dalam membawa masuk Ahli-Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu?
Benarkah juga semua hujah itu begitu penting dalam perkiraan serta pemikiran Tun Mahathir?
Apa yang dibimbangi, di sebalik semua hujah yang nampak murni itu, selain untuk mengukuhkan lagi kedudukan Perdana Menteri, ia mungkin terjajar kepada tujuan serta maksud untuk menidakkan berlakunya peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar Ibrahim sebagaimana yang telah dijanji dan dipersetujui sebelum Pakatan Harapan menang PRU14 yang lalu.
Tambahan lagi, dalam banyak keadaan, meskipun Tun Mahathir selalu mengatakan beliau akan menepati janji berhubung peralihan kuasa itu, kerapkali juga kata-katanya agak tergantung, "saya mungkin jadi Perdana Menteri kurang daripada dua tahun dan mungkin juga lebih dua tahun."
Tidak pernah sama sekali Tun Mahathir berkata, "cukup-cukup dua tahun nanti saya akan serahkan jawatan Perdana Menteri ini kepada Anwar."
Dalam konteks peralihan kuasa kepada Anwar, semua sedia maklum jika beliau menjadi Perdana Menteri nanti, orang yang bakal menjadi timbalannya, baik dari segi kelayakan, pengalaman dan kekananan ialah Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu sekarang.
Tidak ada pemimpin lain dalam Pakatan Harapan yang lebih sesuai digandingkan dengan Anwar selain daripada Muhyiddin.
Dalam waktu yang sama, sementara ada persetujuan mengenai peralihan kuasa kepada Anwar, kecenderungan Tun Mahathir terhadap Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR terlihat sungguh nyata sejak awal lagi.
Beliau yang sudah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor selepas PRU14 lalu dan tidak disenaraikan oleh PKR sebagai calon menteri, telah dipilih oleh Tun Mahathir untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Ekomoni dalam kabinetnya.
Dengan jawatan tersebut, Azmin bukan saja menjadi antara menteri yang menguasai kementerian paling kanan dalam kerajaan, bahkan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah, badan pelaburan utama kerajaan bersama Tun Mahathir selaku Pengerusinya.
Dengan yang demikian, ia menyebabkan berlegar cakap-cakap dan andaian bahawa Tun Mahathir lebih cenderung mahukan Azmin sebagai penggantinya berbanding Anwar.
Cakap-cakap dan andaian itu mungkin segera berkubur jika Tun Mahathir berani bertegas menyatakan "cukup dua tahun saya akan berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar."
Namun, ia tidak pernah sesekali dilakukan Tun Mahathir, malah di sebalik ayat "mungkin kurang dua tahun dan mungkin lebih dua tahun" menjadi Perdana Menteri, beliau ternampak cuba mengukuhkan kedudukannya melalui sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang melompat parti.
Kalaulah berlaku sekali lagi episod Anwar diketepikan sebagai pengganti Perdana Menteri di mana kali pertama terjadi ketika dalam UMNO dahulu, yang akan turut "terbunuh" bersamanya tentu saja ialah Muhyidin.
"Membunuh" karier politik Anwar, tidak dapat tidak, akan menyebabkan Muhyiddin "terbunuh" sama masa depannya.
Muhyiddin bukan saja tidak ternampak ada kecenderungan dalam hati Tun Mahathir untuk diletakkan sebagai penggantinya, bahkan jika Azmin yang menjadi Perdana Menteri, tidak mungkin beliau akan melantik Presiden Bersatu itu sebagai timbalannya.
Siapa pilihan Azmin sebagai timbalannya jika beliau menjadi Perdana Menteri?
Sukarkah menjangkanya? (ShahbudinHusin 16/12/2018)
No comments:
Post a Comment