Singkir MB atau PH tersungkur
TEMPOH enam bulan berkuasa bukan jaminan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mampu bertahan satu penggal di Perak. Petanda krisis dalam PH semakin ketara. Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak beberapa hari lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad mendakwa ada usaha melobi wakil rakyat UMNO oleh exco kerajaan negeri untuk menyokong undi tidak percaya kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar. Namun, kerajaan PH menafikannya dan mendakwa itu adalah tohmahan palsu dan gimik murahan.
Bukan hanya menteri besar tidak mampu bertahan, bahkan kerajaan PH sendiri boleh tumbang bila-bila masa. Dengan 29 kerusi bukan kedudukan kukuh untuk PH boleh memerintah hingga tamat satu penggal. UMNO dan Pas bila-bila sahaja boleh mengambil alih kuasa jika ada kompromi kerana masing-masing mempunyai 27 dan tiga kerusi. Jika dua parti ini bersetuju berpakat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, nescaya PH tidak memerintah di Perak.
Usaha menyingkirkan Ahmad Faizal bergantung kepada pengaruh UMNO. Tanpa sokongan UMNO, semua itu tidak menjadi. Ahmad Faizal satu-satunya wakil rakyat daripada Bersatu dalam PH dan
dipilih sebagai Menteri Besar yang menang dengan majoriti 39 undi sahaja di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chendering.
Dari segi komposisi parti, ternyata tiada jaminan untuk Ahmad Faizal kekal sebagai menteri besar. DAP ada 18 kerusi, Amanah (enam kerusi) dan PKR (empat kerusi) yang mana mereka memerlukan tiga lagi kerusi untuk menyingkirkan Ahmad Faizal melalui undi tidak percaya. Sebab itu, mereka perlu melobi wakil rakyat UMNO.
Justeru, UMNO adalah penentunya. Pas semestinya tidak menyokong PH kerana berseteru dengan DAP. Mahukah UMNO membantu DAP, Amanah dan PKR dalam usaha menyingkirkan Ahmad Faizal?
Alang-alang membantu menyingkirkan Ahmad Faizal, elok UMNO bersekongkol dengan Pas menumbangkan PH. Jika ini berlaku, maka krisis politik 2009 di Perak bakal berulang. Untuk mengelak krisis ini berulang, usaha menyingkirkan Ahmad Faizal melalui undi tidak percaya dikatakan lebih bermaruah berbanding penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dahulu. Atas faktor itu, sokongan UMNO itu diperlukan.
Jika Ahmad Faizal disingkirkan, siapakah penggantinya? Calon yang diuar-uarkan ialah Dr. Abdul Aziz Bari daripada DAP. Mahukah istana menerima pencalonan Abdul Aziz sebagai menteri besar? Sekiranya pencalonan beliau ditolak, adakah Mohammad Nizar sebagai calon kedua?
DAP sebenarnya masih mempunyai agenda ‘tertangguh’ kerana wakil rakyatnya tidak boleh dilantik sebagai menteri besar selepas PRU-12 (2008) dahulu kerana tiada wakil rakyat Melayu beragama
Islam. Justeru, Mohammad Nizar dilantik sebagai menteri besar. Kini DAP sudah mempunyai Abdul Aziz yang mahir dalam perlembagaan dan bekas profesor. Jadi, DAP merasakan sudah tiba masanya wakilnya menduduki kerusi menteri besar.
Ketika ini, krisis politik Perak umpama retak menunggu belah. Mohammad Nizar sukar untuk dilantik sebagai menteri besar kerana krisis politik 2009 dahulu turut membabitkan penyokongnya dengan istana dan berlarutan hingga ke mahkamah.
Oleh itu, Mohammad Nizar bukanlah pilihan kerana sejarah hubungannya dengan istana tidak baik. Yang pasti ada risikonya jika Ahmad Faizal disingkirkan. Jangan yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Jawatan menteri besar yang diimpikan oleh DAP, tetapi kerajaan PH tumbang. Silap percaturan, UMNO dan Pas menguasai kerajaan Perak. Nasib PH umpama ayam menang, kampung tergadai.
Dari sudut pengamatan penulis, UMNO boleh bersetuju dalam hal di atas mahu pun untuk menolaknya. Jika bersetuju, apakah manfaatnya kepada UMNO? Sesungguhnya, Ahmad Faizal masih ada roh atau DNA UMNO. Keluarganya orang kuat UMNO. Bapa mentuanya Datuk Radzi Manan ialah Ketua Bahagian UMNO Kampar. Datuk Nolee Ashilin Radzi adalah iparnya yang kini wakil rakyat Tualang Sekah.
Radzi ada pengaruh bagi memastikan menantunya kekal sebagai menteri besar sentiasa terjamin. Daripada menyingkirkan Ahmad Faizal, Radzi boleh mengemukakan kepada UMNO untuk bersatu dengan Pas mengambil alih kuasa daripada PH.
Difahamkan hubungan Ahmad Faizal dengan anggota Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak adalah baik dan SUK sinonim dengan UMNO. Lagi pun, sebelum ini beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Ipoh Timur sebelum menyertai Bersatu.
Sejarah silam dan faktor kekeluargaan itu menyukarkan usaha menyingkirkan Ahmad Faizal walaupun dikatakan kurang berkesan dan gagal melaksanakan peranannya sebagai menteri besar. Idea dan pandangannya juga kerap berbeza dengan exconya.
Hal ini menyebabkan politik Perak dalam dilema dan menjurus kepada krisis besar. Jika ini benar berlaku, jelas kerajaan PH Perak tidak stabil. Andai kata krisis politik dalam PH berterusan, bukan hanya Ahmad Faizal boleh tersingkir, tetapi kerajaan PH pun boleh tersungkur.
Dr. Malike Brahim ialah Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC).
No comments:
Post a Comment