Bertuahnya kerbau-kerbau se-Malaysia
Dah dapat kerbau bertuah lembu tidak dikenang lagi
Sehari dua ini kerbau menjadi terkenal. Terima kasih kepada budak sekolah menengah yang bernama Mohd Syukor Khamis yang hidup bersama keluarganya di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.
Daripada gambar yang tular itu dapat difahami bahawa keluarga Mohd Syukor bukanlah terhad dalam lingkungan ibu, ayah, abang dan sebagainya.
Kerbau dan kambing nampaknya boleh dianggap sebahagian daripada 'keluarga' pelajar tingkatan dua itu berdasarkan keakraban dia dengan haiwan berkenaan.
Dan bertuahlah kerbau-kerbau se-Malaysia dek kerana santun dan ramah Mohd Syukor itu.
Untuk seketika tenggelamlah populariti lembu yang sebelum ini lebih mendapat tempat di mata masyarakat. Berbanding kerbau, lembu lebih difikirkan akan keberadaannya.
Menjelang kebanyakan perayaan, orang lebih risau tentang bekalan daging lembu berbanding daging kerbau, misalnya.
Ia sebenarnya boleh dikesalkan kerana sehari dua ini juga ada banyak kisah tentang 'lembu' yang menghiburkan, terutama dari kawasan tanah tinggi Cameron Highlands.
Antara bebal dan angkuh
Jangan salah faham. Kenyataan ini bukanlah berbentuk hinaan.
Perlu difahami, bagi sesetengah agama dan budaya, lembu itu melambangkan sesuatu yang tinggi, suci dah dihormati. Justeru kita boleh melihat bagaimana ada individu tertentu yang berasa diri mereka lebih tinggi atau mulia berbanding yang lain.
Disebabkan keyakinan itulah mereka boleh bercakap mengikut apa yang dirasakan sedap oleh lidah masing-masing.
Dalam ayat yang lain, orang sebegitu menunjukkan bahawa lidah mereka jauh lebih panjang berbanding akal yang ada dalam kepala masing-masing.
Pedulilah sama ada kata-kata itu berbentuk ugutan, pujian, amaran atau seumpamanya.
Seseorang yang tawaduk (kata almarhum Buya Hamka, tawaduk itu bukan bermaksud merendah diri, tapi kenal diri sendiri) tidak akan bercakap sewenang-wenangnya di depan sesiapa saja.
Menghamburkan kata-kata tanpa berfikir kadang-kadang melambangkan kebebalan, tetapi pada ketika yang lain boleh diterjemah sebagai menunjukkan keangkuhan.
Lembu juga simbolik kepada pengorbanan. Bagi umat Islam lembu adalah salah satu haiwan yang layak dijadikan korban seain kerbau, unta atau kambing.
Ia melambangkan ketulusan hati dan penyerahan diri untuk matlamat suci. Di mata sesetengah orang amalan itu mungkin kelihatan merugikan, tetapi untuk insan yang memahami, ia sebaliknya membawa keuntungan yang berlipat ganda besarnya.
Justeru ada pula aksi orang politik berkorban di tanah tinggi yang semakin tidak sejuk itu.
Biar jelik di mata
Demi mendapatkan kemenangan mereka berkorban dengan apa saja yang dirasakan wajar. Maklumlah, matlamatnya ialah mencari kemenangan.
Mahukan menang bermaksud mengalahkan musuh yang 'sesat'.
Berbanding menyebelih haiwan, mereka kadang-kadang menjadikan diri sendiri sebagai korban. Memanglah mereka tampil dengan penuh berjurus. Cakap tidak meninggi, kadang-kadang gigi lebih lembut daripada lidah.
Tapi perbuatan yang kelihatan kadang-kadang jelik sekali. Tidakkah mereka sedar kejelikan itu?
Rasanya mereka sedar. Tapi demi perjuangan yang suci, biarlah nampak jelik di mata orang tetapi tidak di mata pemimpin.
Dalam erti kata lain mereka sebenarnya merelakan diri sendiri 'disembelih' oleh sesetengah orang atas perbuatan yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen sekarang.
Ia dianggap berbaloi jika akhirnya calon yang disokong itu memperoleh undi yang lebih banyak berbanding pencabar lain.
Tidak ketinggalan juga, ada pihak dengan rela menjadikan diri mereka laksana haiwan ternakan yang setiap waktu menanti untuk dikenyangkan tanpa perlu berusaha banyak.
Hal ini memang sudah berleluasa terjadi sejak puluhan tahun silam. Dalam kepala masing-masing, pilihan raya adalah waktu untuk mencari habuan sebanyak mungkin.
Lantaklah kalau selepas pilihan raya berakhir mereka akan dikorbankan oleh janji-janji manis para politikus yang tidak serik menebalkan muka mencari undi.
Kemuncak malang itu ialah apabila ada orang yang merelakan hidup mereka diatur oleh orang berkepentingan. Laksana lembu yang dicucuk hidungnya, mereka akan mengikut saja apa yang dikatakan sambil mematikan suis berfikir masing-masing.
Namun ia bukanlah khabar gelita secara mutlak. Ini zaman Malaysia Baru yang takrifnya bukan hak Pakatan Harapan (PH) atau BN atau parti yang mendakwa memiliki 'nur'.
Kita - rakyat yang diberikan hak - memiliki keupayaan akal sendiri. Masa untuk diperbodohkan dengan janji dan ancaman oleh parti politik sudah berlalu. Setidak-tidaknya pada 9 Mei tahun lalu.
Kerbau atau lembu - kalau ada yang mahu menjadi itu - biarkan saja. Selebihnya keputusan ada di tangan masing-masing. Tambahan pula dengan limpahan maklumat yang mudah diperolehi pada era digital ini, sukar untuk diterima kalau ada orang yang rela dijadikan bidak catur.
Apa yang perlu ialah akal yang waras dan kebijakan menapis maklumat daripada limpahan berkenaan.
Kepalsuan dan kisah dongeng memang banyak. Kebenaran tetap ada di celah-celah pembohongan itu.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang pernah memenangi hadiah melalui sajak tentang bubalus bubalis.
Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment