Pages

Thursday, 24 January 2019

[Video Bukan Ramli tapi Najib!] Jika Orang Asli warganegara Malaysia, mengapa 60 tahun BN nafi hak mereka.

Khamis, 24 Januari 2019
Foto Kami Viral.

Jika Orang Asli warganegara Malaysia, mengapa 60 tahun BN nafi hak mereka

Persoalan yang sering menganggu fikiran saya sejak melawat beberapa kampung dan pos Orang Asli di Cameron Highlands sepanjang tiga minggu lalu adalah sama ada, setelah 60 tahun Merdeka, Orang Asli boleh dianggap sebagai warganegara penuh Malaysia?
Mereka adalah penghuni asal Malaysia, namun adakah mereka sebenarnya-benarnya warganegara penuh negara ini selepas 60 tahun merdeka?
Persoalan ini kedengaran dangkal kerana setiap rakyat Malaysia sememangnya adalah warganegara penuh Malaysia.
Namun begitu, bagaimana kita boleh kata seseorang itu merupakan warganegara Malaysia sedangkan dia dinafikan infrastruktur asas seperti jalan yang baik, bekalan air bersih, bekalan elektrik; ditambah kekurangan keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan, penjagaan kesihatan, perumahan serta peluang ekonomi, dan paling penting, dinafikan hak ke atas tanah adat mereka.
Dua jam diperlukan untuk saya menempuh jalan “roti canai” sepanjang 30km ke Pos Lenjang – perjalanan yang sepatutnya memakan masa hanya 20 hingga 30 minit. Perjalanan menyelusuri jalan “roti canai” paling teruk dan terpanjang bukan sahaja di Cameron Highlands malah di seluruh Malaysia, yang digunakan seharian oleh Orang Asli di 20 kampung, merupakan pengalaman yang menyeksakan dan tidak dapat dilupakan.
Mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan ketua kempen Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, tidak melawat Pos Lenjang dan melihat dengan mata kepala sendiri sama ada Orang Asli di kawasan itu boleh dianggap sebagai warganegara penuh Malaysia sedangkan mereka dinafikan hak untuk mendapatkan infrastruktur dan perkhidmatan asas?
Jika Orang Asli adalah warganegara penuh Malaysia, maka kewujudan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk membawa mereka masuk ke dalam arus perdana pembangunan negara sudah tidak diperlukan lagi.
Namun setelah 60 tahun, siapa yang boleh menerima keadaan Orang Asli yang begitu menyedihkan? Dalam lawatan saya ke beberapa kampung Orang Asli, saya bertanya kepada mereka sama ada JAKOA telah mencapai misi dan objektifnya, dan rata-rata memberi maklum balas yang tidak memuaskan malah agensi itu menurut mereka gagal mencapai 50 peratus objektifnya dalam tempoh 60 tahun.
Saya akui, saya harus mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor atas pencapaiannya memegang jawatan tinggi ASP dalam pasukan polis, namun ia sebenarnya lebih kepada testimoni kegagalan dan bukan kejayaan untuk menjadikan Orang Asli warganegara penuh Malaysia?
Mengapa selepas 60 tahun, hanya ada seorang ASP dari kalangan Orang Asli. Mengapa tidak ada seorang pun Pesuruhjaya Tinggi Polis atau Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Polis dari kalangan Orang Asli?
Ini belum lagi menyentuh mengenai jumlah Orang Asli yang memegang jawatan tertinggi dalam jabatan kerajaan?
Selepas 60 tahun, hanya seorang Orang Asli dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKOA pada lapan bulan lalu, sedangkan jawatan itu sepatutnya sudah lama diisi oleh Orang Asli sendiri.
Pada masa ini, kurang daripada 22 peratus kakitangan JAKOA adalah dari kalangan Orang Asli. Ini bukan kemajuan, sebaliknya kegagalan JAKOA.
Pada 2013, SUHAKAM mengeluarkan laporan bertajuk “Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli di Malaysia” dan membuat beberapa cadangan, antaranya menubuhkan “satu Suruhanjaya Kebangsaan yang bebas mengenai Orang Asal yang fungsinya antara lain akan meneliti pengiktirafan secara berkesan serta mempromosi dan melindungi hak Orang Asal/Asli terhadap tanah dan identiti mereka”
Tiada satu pun daripada 18 syor yang dikemukakan Suhakam berkaitan masalah Orang Asli dipertimbangkan atau dilaksanakan oleh kerajaan BN tedahulu.
Jika Orang Asli, selepas 60 tahun Merdeka, adalah warganegara penuh Malaysia, kerajaan Barisan Nasional terdahulu sudah tentu akan memberi pertimbangan yang serius terhadap 18 syor yang dikemukakan Suhakam itu dan memastikan pembangunan melibatkan masyarakat Orang Asli seiring dengan masyarakat lain. – Roketkini.com
*Ucapan oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang di Kampung Cerewes, Pos Titom, Jelai pada Selasa 22 Januari 2019

No comments:

Post a Comment