DAP akui BN miliki peluang cerah
Kit Siang jemput Bersih, NGO pantau aktiviti kempen PRK Cameron Highlands
Bagi menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah, Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menjemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan bukan kerajaan (NGO) memantau aktiviti kempen harian mereka.
Beliau juga mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendedahkan laporan perbelanjaan pilihan raya setiap hari kepada umum.
“Dengan cara itu, termasuk menghantar laporan harian perbelanjaan oleh setiap calon, saya yakin kita akan mencipta satu amalan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia!” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut bertanyakan calon Barisan Nasional bagi PRK Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor sama ada beliau bersetuju dengan cadangan itu.
“Adakah Ramli bersetuju dan akan memberikan maklum balas dalam beberapa jam akan datang dalam era di mana maklumat bergerak sepantas kelajuan cahaya?” ujarnya.
Kit Siang membuat cadangan itu susulan tindakan pemimpin BN menyebarkan gambar yang memaparkan individu memakai baju PH dituduh kononnya cuba membeli undi dengan mengagihkan wang bayaran balik kepada sukarelawan yang hadir pada hari penamaan calon pada Ahad lalu.
Ekoran itu, pemimpin BN membuat laporan polis atas dakwaan berlakunya kesalahan pembelian undi.
Bagimanapun, Penolong Ketua Pusat Operasi Pakatan Harapan Jelai, Arvind Bharet menafikan tuduhan itu.
“Berkenaan dengan gambar-gambar yang tular di media sosial, saya ingin menegaskan ia merupakan pembayaran balik (reimbursement) penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan Pakatan Harapan yang datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.
“Pembayaran balik ini akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihanraya.
“Kesemuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang,” tegasnya dalam kenyataan.
Pengerusi Bersih Thomas Fann seperti dipetik media berkata tidak menjadi kesalahan pilihan raya sekiranya parti politik membayar balik kos petrol sukarelawan yang terlibat dalam kempen.
“Tidak. Ia bukan satu kesalahan. Mereka adalah sukarelawan dan mereka perlukan duit petrol, makanan dan penginapan.
“Semua ini perlu direkodkan sebagai perbelanjaan calon yang ditetapkan di bawah RM200,000,” katanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment