Husam telah serah bukti isu RM90 juta kepada SPRM
Selain memberi keterangan, Naib Presiden Amanah Husam Musa turut dikatakan memberikan bahan bukti ketika ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa ia bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyaluran RM90 juta oleh Umno kepada pemimpin PAS.
"Husam hadir untuk berikan keterangan dan menyerahkan bukti berkaitan isu penerimaan dana Umno oleh pemimpin PAS.
"Difahamkan bukti tersebut berbentuk dokumen dan rakaman percakapan," katanya yang enggan nama didedahkan.
Husam ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9.25 malam semalam dan keluar kira-kira sejam 30 minit kemudian.
Sebelum ini media melaporkan Husam antara empat individu yang akan dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.
Siasatan SPRM susulan langkah Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyelesaikan saman fitnahnya terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown berhubung dakwaan itu, di luar mahkamah.
Ahli jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini mengakuisuara dalam rakaman berhubung penerimaan wang Umno itu - yang tular Mac lalu dan dinafikannya ketika itu - memang miliknya.
Beliau dan bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berkenaan perkara itu.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment