ABIM, Ikram, NGO wajar tubuh parti Islam baharu – Penganalisis
suara pakatan daily
Menjelang pemilihan pada muktamar PAS Khamis ini, perwakilan parti itu diajak membawa pendekatan baharu dan menjadi trend perjuangan Islam di seluruh dunia, dengan mengasingkan parti politik daripada gerakan Islam.Penganalisis menjangka pemilihan itu bakal menyaksikan golongan profesional kalah teruk dalam pertembungan dengan golongan konservatif PAS.
Maka perwakilan disaran memilih antara memenangkan golongan profesional agar mereka boleh memimpin parti sepenuhnya, atau mengasingkan diri daripada pendekatan ulama yang ada dalam PAS sekarang dan membentuk parti baharu menyertai PKR, DAP dan gerakan sivil demi kepentingan negara secara keseluruhannya.
Inilah pintu keluar yang perlu dipertimbangkan golongan profesional dalam PAS selepas Muktamar Tahunan ke-61 ini, kata Profesor Dr Abdul Latif Ibrahim.
“Model PAS sekarang sudah salah. Dulu okay lah, tetapi sekarang, dengan kita belajar dari Turki, Tunisia dan tempat-tempat lain, tidak boleh lagi gerakan Islam itu juga parti politik.
“Ikhwan (Muslimin) juga sudah berubah. Mereka tubuh parti politik. Biarlah parti politik masuk dengan sepak terajang politik, jika timbul apa-apa isu,” kata bekas penolong setiausaha agung PAS itu.
Latif berkata, pendekatan yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ulama muda yang menyokongnya sekarang tidak lagi bertepatan dengan realiti semasa politik dunia.
“Mereka bersama golongan profesional Islam dalam Abim dan Ikram misalnya, perlu bersedia menubuh parti baharu untuk bersama PKR dan DAP serta gerakan sivil dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hasrat yang sama, iaitu membawa gerakan rakyat untuk membuat perubahan dalam politik negara secara berskala besar.
“Ada yang kata, jika buat parti serpihan, ia akan mati. Saya kata tidak, kerana perpecahan dalam PAS sekarang, dari atas sampai ke bawah. Kalau tokoh yang besar-besar ini masuk ke sana (parti baru), pengikut yang bawah ini akan ikut dengan ramai.
“Kita nampak ini gambaran besar yang ada sekarang dan perlu diterima ahli PAS jika mereka mahu terus ke depan,” kata Latif kepada The Malaysian Insider.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu merupakan salah seorang pemikir dalam PAS yang dilantik penolong setiausaha agung pada sesi lalu, namun melepaskan jawatan itu selepas satu penggal.
Kajian yang dibuat badan bebas memperlihatkan golongan profesional dalam PAS sekarang akan dikalahkan sepenuhnya dalam muktamar kali ini selepas kedua-dua belah pihak berbeza pendapat sejak sekian lama dalam isu kerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR).
50% perwakilan dalam muktamar ini dijangka terdiri daripada muka baru yang pertama kali menjadi perwakilan, sementara hanya 10% mereka dipercayai bebas pengaruh mana-mana kumpulan dalam PAS, yang dikatakan kini dikuasai golongan konservatif.
Calon presiden, bekas pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang yang menentang Hadi, dijangka mendapat 25% undi sahaja, manakala Mohamad Sabu yang ditentang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi kerusi timbalan presiden dijangka hanya akan mendapat sekitar 35% sokongan sahaja.
Hanya Salahudin Ayub penyandang yang dijangka akan menang kerusi naib presiden PAS, manakala penyandang ketua Pemuda Suhaizan Kaiat dan ketua Muslimat Siti Zailah Yusof dijangka gagal mempertahankan jawatan mereka.
Ibrahim Sufian dari Merdeka Center juga turut membuat jangkaan sama mengenai apa yang berlaku dalam PAS sekarang, di mana kemaraan golongan ini tidak boleh lagi disekat.
“Saya rasa ulama akan menang besar,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Bagi Latif, jika hanya sebahagian kecil dari golongan profesional dalam PAS menang, mereka tidak akan boleh berbuat apa-apa.
“Kalau Salahudin menang dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) di kalangan profesional pun menang, apa yang mereka boleh buat?” soalnya.
Katanya, sebelum pemilihan ini, majoriti AJK PAS dari golongan profesional.
“Dengan sokongan AJK pusat kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor pun, cara pintu belakang boleh dibuat untuk mengenepikan beliau, inikan pula ketika golongan ini menguasai parti sepenuhnya,” kata Latif.
Baginya, ahli dan pemimpin PAS perlu belajar dari rakan mereka di luar negara.
“Mereka kena buat platform baru, iaitu parti politik baru seperti AKP di Turki yang bukan gerakan Islam,” kata Latif merujuk kepada parti AKP yang memerintah Turki sejak 2002 lalu.
“Gerakan Islam terus kekal sebagai gerakan Islam yang besar itu,” katanya menggambarkan umat Islam secara keseluruhannya.
AKP berasal dari parti Islam Refah, tetapi berpecah dengan golongan konservatif yang membentuk parti Saadet.
No comments:
Post a Comment