Khamis, 30 Jun 2016
Read More

Guan Eng minta dibicarakan, ikat jamin ditetapkan pada RM1 juta
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dijangka didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.
Beliau juga akan didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.
Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual banglo tersebut kepada Lim, juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town.
Beliau akan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengan Guan Eng berhubung penjualan banglo.
Malaysiakini membuat liputan LANGSUNG.
12:15pm: Mahkamah Tinggi menetapkan 22 September depan sebagai pengurusan kes.
Mahkamah ditangguhkan dan Guan Eng dijangka mengadakan sidang akhbar di Dewan Bandaran, iaitu kira-kira 500 meter dari bangunan mahkamah.
11:50am: Di Mahkamah Tinggi, Lim mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Ariffin.
Azmi kemudian menetapkan ikat jamin pada RM1 juta dengan seorang penjamin.
Mahkamah tidak memerintahkan Lim menyerahkan pasportnya tetapi beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah dan Jabatan Peguam Negara, dua hari sebelum ke luar negara.
Azmi turut menetapkan wang jaminan sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin bagi Phang.
Malaysiakini.