Pages

Wednesday, 17 July 2013

DAP hairan Ahli Parlimen UMNO sanggup berbohong pada bulan puasa & Jangan ‘double standard’...

Rabu, 17 Julai 2013
Jangan ‘double standard’apabila gagal bertindak terhadap mereka yang menghina agama lain 
Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengancam mahu membakar kitab Bible, Pensyarah universiti Ridhuan Tee Abdullah dan calon BN Parlimen Shah Alam, Zulkifli Noordin yang membuat kenyataan menghina agama Hindu.


KUALA LUMPUR, 17 JULAI: DAP terkilan apabila dituduh Ahli Parlimen UMNO bahawa parti itu dan Ahli Parlimen DAP Kuching, Chong Chien Jen terbabit di sebalik pembikinan video lucah blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee yang menghina Islam.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata beliau hairan bagaimana pada bulan Ramadhan yang suci ini, Ahli Parlimen UMNO terbabit boleh membuat dosa dengan pembohongan dan penipuan, bukannya memberi tumpuan mengenai soal asas pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Alvin dan Vivian menghina Islam tetapi jangan ‘double standard’ dengan melakukan pendakwaan terpilih apabila gagal bertindak terhadap mereka yang menghina agama lain, seperti Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengancam mahu membakar kitab Bible, Pensyarah universiti Ridhuan Tee Abdullah dan calon BN Parlimen Shah Alam, Zulkifli Noordin yang membuat kenyataan menghina agama Hindu.
“Daripada membazir masa dengan dua budak muda pendek akal itu, UMNO sepatutnya memberi tumpuan kepada anak muda cerdik pandai yang tidak mendapat tempat di IPT tempatan untuk bidang yang mereka pilih, meskipun menjadi pelajar cemerlang dengan markah maksimum.

“Alasan Kementerian Pendidikan bahawa pelajar cemerlang yang mendapat CGPA maksimum 4.0 tidak mendapat tempat untuk kursus yang mereka mahu kerana salah mengisi borang adalah sangat mengarut dan tidak boleh diterima.
“Kementerian Pendidikan tidak sepatutnya merendahkan tahap pemikiran mereka ke tahap intelek Ahli Parlimen UMNO dengan melakukan jenaka seperti itu sedangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa pelajar cemerlang akan mendapat tempat di universiti, jika tidak BN akan dihina, bukan sahaja sekarang malah generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, dengan menafi dan menghancurkan masa depan pelajar terbaik, Malaysia juga memusnahkan masa depan penuh kecemerlangan serta harapan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
Beliau berkata, DAP mesti menumpukan usaha untuk menyediakan visi alternatif yang jelas ke arah pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran yang boleh dinikmati semua rakyat Malaysia, bukannya mengalih perhatian dengan penipuan jahat UMNO yang bertujuan memecahbelahkan Malaysia melalui ketakutan dan kebencian.

“Sebagai pergerakan demokrasi sosial, DAP sentiasa memberi keutamaan kepada polisi perlindungan sosial terutamanya dalam aspek kesihatan, pendidikan dan bantuan kebajikan untuk golongan fakir miskin dalam masyarakat.

“Bagaimanapun, polisi perlindungan sosial yang sedemikian tidak boleh dibiayai atau diteruskan sekiranya ia tidak disokong oleh polisi yang menggalakkan pertumbuhan dan kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata, model yang boleh diikuti DAP pertumbuhan ekonomi bergantung kepada beberapa syarat asas termasuk kedaulatan undang-undang, ketelusan dan akauntabiliti, kurangnya peraturan dan birokrasi yang rumit, pentadbiran yang baik dan bersih serta bekalan tenaga bakat manusia daripada sistem pendidikan yang berkualiti.

Sehubungan itu, katanya, bagi menjulang integriti dalam pentadbiran kerajaan, CEC DAP menyokong keputusan bahawa pemimpin DAP di dalam kerajaan mesti mengisytiharkan harta mereka secara terbuka.
Menurutnya, melihat kepada keadaan Kerajaan Negeri Selangor yang tidak mahu mengikut keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengisytihar harta peribadi semua Ahli EXCO, Speaker dan Ketua Menteri, DAP mengarahkan tiga Ahli EXCO Selangor serta Speaker DUN Selangor mengisytiharkan harta dengan kerelaan mereka sendiri.

Katanya, Pengerusi DAP Negeri Selangor, Teresa Kok akan ditugaskan untuk mengaturkan masa dan cara bagi tiga EXCO Selangor DAP dan Speaker untuk melakukan perisytiharan harta mereka kepada umum.-Roketkini.com

No comments:

Post a Comment