15 Julai 2013
Ketegangan Kaum di Kelang: Tidak Wajar Sorok Berita Sebenar
Tindakkan pihak polis yang sengaja menyorokkan berita sebenar kononnya bagi mengekang kejadian lebih buruk, hanya menjadikan keadaan lebih tidak menentu dengan berita berbentuk khabar angin tersebar lebih meluas. Seharusnya, pihak polis bertanggungjawab memastikan khabar angin yang tidak benar dan mempunyai agenda jahat dipatahkan dengan memberi gambaran dan status terkini dari kawasan kejadian.
Ketegangan kaum di Kelang juga merupakan bahana yang lahir dari politik perkauman melampau. Semata-mata untuk mempertahankan kuasa, soal hubungan antara kaum bukan sahaja tidak dijaga rapi malah turut diapikan sentimen perkauman. Dalam pilihanraya umum lalu, pengundi melayu khususnya dimomokkan dan diugut supaya terus menyokong pemerintah kononnya kuasa melayu terhakis jika kerajaan tumbang.
SAMM juga menasihatkan semua agar bertenang dan dalam masa yang sama SAMM menyokong tindakan yang tegas dari pihak polis bagi menangani ketegangan ini. Orang ramai juga diminta supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin.
Dalam soal ini juga, kefahaman orang ramai adalah penting. Mujurlah rakyat Malaysia hari ini rata-ratanya tidak terikat dengan ketaksuban perkauman, hanya tinggal segelintir yang didoktrin oleh parti politik berasaskan kaum masih mempunyai pemikiran era pra-kemerdekaan.
Sekian
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Read more: http://milosuam.blogspot.com/2013/07/
MP: Cina ubah sokongan kerana 'keris Hishammuddin'
MP Kluang Liew Chin Tong percaya masyarakat Cina berubah menjadi penyokong DAP sejak 2005 apabila naib presiden Umno pada waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghunus keris dalam satu mesyuarat Pemuda Umno.
Ketua biro pendidikan politik DAP itu berkata, beliau melihat bahawa masyarakat Cina kelas pertengahan menerima baik kepimpinan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum peristiwa menimbulkan kontroversi.
Katanya, orang Cina pada masa itu tidak berasa terpinggir di bawah pentadbiran Mahathir dan turut menerima gagasan Wawasan 2020, sebelum peristiwa tersebut.
"Pada tahun 80-an dan 90-an, masyarakat Cina berpuas hati kerana kerajaan menyediakan saluran buat mereka. Konsepnya - jika mereka mampu bayar, mereka boleh dapat saluran TV, mereka dapat akses kepada pendidikan.
"Jika mampu, mereka boleh masuk ke universiti swasta dan mereka juga dapat menonton saluran Cina di Astro," katanya.
Umno kemudiannya berubah ke garis yang lebih kanan dan cakap-cakap perkauman juga tercetus pada waktu itu, kata Liew.
"Ia langkah yang kurang cerdik. Tiada gabungan parti politik dalam negara ini yang mampu memerintah tanpa memenangi hati semua kaum," katanya.
Perasaan tidak senang kaum bukan Melayu terhadap kerajaan katanya terus bersemi dari hari ke hari sejak peristiwa itu dan memuncak apabila mereka menafikan majoriti dua pertiga BN dalam pilihan raya tahun 2008, katanya lagi.
"Terdapat usaha (dari perdana menteri) untuk membaiki perkara ini dengan konsep 1Malaysianya, namun ia akhirnya dilihat tidak lebih daripada usaha penjenamaan untuk barangan murah," tambahnya lagi.
"Sekarang ini, PAS pula dilihat lebih sederhana berbanding Umno," tambahnya.
Selain itu, Liew juga percaya gelombang perubahan citra politik belia Cina tidak hanya berlaku dalam pilihan raya umum yang lalu.
Menurutnya, ia mula berlaku sejak pilihan raya tahun 2008 lagi dan pilihan raya lalu menyaksikan mereka dari kumpulan umur lain turut beralih arah menyokong Pakatan.
Menurutnya, kematian Teoh Beng Hock dan isu loji nadir bumi Lynas memberi kesan kepada kecenderungan politik orang Cina, di samping peranan besar yang dimainkan laman media sosial seperti Facebook.
"Sebelum ini, hanya orang lelaki yang berminat dalam perbincangan politik.
"Kini dengan Facebook, golongan wanita juga mengambil bahagian dalam perbincangan politik mengikut keselesaan mereka," katanya.
Wawancara dijalankan oleh Ahmad Fadli KC, Lee Way Loon dan Ram Anand.
Mk.
No comments:
Post a Comment