Pages

Tuesday, 16 July 2013

TPPA: HENTIKAN RUNDINGAN!

Rabu, 17 Julai 2013
NGO demo di hadapan parlimen bantah TPPA

Rundingan telah berjalan sebanyak 17 kali, namun rakyat tidak mengetahui langsung berkaitan TPPA
KUALA LUMPUR: Sekumpulan NGO bertindak mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan parlimen bagi membantah rundingan kerajaan berhubung perjanjian Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA).

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Gabungan Membantah TPPA itu berdiri di laluan masuk ke parlimen, sambil mengedarkan risalah berkaitan kepada kereta yang melalui jalan tersebut.
Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. Nasir Hashim yang mengetuai bantahan itu menuntut kerajaan agar menangguhkan rundingan berkaitan TPPA itu sehingga rakyat dimaklumkan berkenaan rundingan tersebut.

"TPPA ini dilihat akan memberi kesan kepada negara dan rakyat. Rundingan telah berjalan sebanyak 17 kali, namun rakyat tidak mengetahui langsung berkaitan TPPA," kata beliau.

Sehubungan itu, selain menuntut kerajaan menangguhkan perjanjian tersebut, beliau juga mendesak agar isu itu turut dibahaskan di parlimen.
Katanya, perbahasan mengenai TPPA itu perlu dilakukan bagi memastikan semua pihak mengetahui apa di sebalik perjanjian tersebut, sebagaimana yang dilakukan di New Zealand dan Australia.

"Kita harap perbahasan mengenai TPPA ini di parlimen. Sebagai wakil rakyat, isu ini perlu diperhalusi bagi memastikan perjanjian ini tidak menekan rakyat," tegas beliau.

Sementara itu, wakil dari gabungan tersebut dibenarkan masuk untuk menemui wakil Pakatan Rakyat bagi menyerahkan memorandum bantahan itu.

Memorandum bantahan itu diserahkan kepada Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Micheal Jeyakumar; dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Isu berkaitan TPPA ini timbul apabila sebahagian besar rakyat Malaysia tidak tahu-menahu berhubung TPPA ini, sebelum lima perkara antara 29 perkara dalam TPPA itu dibocorkan baru-baru ini.

Beberapa NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) membantah rundingan yang dilakukan secara rahsia antara wakil Malaysia melalui MITI dengan AS kerana beranggapan rakyat Malaysia perlu dimaklumkan berkenaan kebaikan dan kesan dari TPPA itu.
Difahamkan, antara lima perkara dalam TPPA yang terbocor itu, salah satunya berkaitan dengan ubat-ubatan generik yang akan dipatenkan yang menyebabkan kelewatan kemasukan ubat-ubatan generik dengan harga berpatutan dalam pasaran Malaysia.

Jika peruntukan ini dipersetujui, rakyat Malaysia dikatakan akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk ubat-ubatan untuk jangka masa yang lebih lama.Harakahdaily.

No comments:

Post a Comment