Siapa patut jadi Timbalan Presiden PAS
Khalid Samad - TMI
Ada yang bertanya kepada saya, “siapa patut disokong untuk jawatan Timbalan Presiden?”
Saya jawab, “Lihat pada yang ada. Bagaimana prestasinya? Baik atau tidak baik? Memuaskan atau tidak memuaskan? Kalau baik kekalkan. Kalau tidak baik dan dirasakan ada yang boleh memberi prestasi yang
lebih baik, maka tukarlah”.
Maka ditanya balik, “Bagaimana soal ulama atau tidak ulama?” Saya jawab lagi, “jawatan ini bukan sebagai suatu ‘penghormatan’, iaitu yang dihormati sebagai ulama maka diberi jawatan tersebut. Jawatan ini datang dengan satu amanah tertentu. Hendak diberi kepada yang boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang datang bersama dengan jawatan tersebut. Iaitu kepimpinan, kepengurusan, kebijaksanaan berpolitik, mampu membaca strategi lawan, keberanian, ketangkasan, keamanahan dan lain-lain yang perlu sebagai Timbalan Presiden”. Bukan kemampuan membuat hukum. Untuk buat hukum dan kawal perjalanan parti dari sudut dasarnya, sudah ada Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama. Di situ keahliannya mesti “ulama”.
Akan tetapi untuk Timbalan Presiden perlu dipilih orang yang boleh memenuhi ciri tersebut. Ciri ini mungkin
ada pada ulama, seperti Al-Marhum Ust Fadhil Mohd Noor, TGNA dan juga TGHH. Dan ia mungkin juga ada pada yang bukan ulama. Yang penting yang dipilih mesti atas dasar siapa yang lebih mempunyai ciri ini di kalangan barisan calon yang diketengahkan.
Memilih Timbalan Presiden sesebuah parti politik adalah seperti memilih panglima perang yang akan memimpin tentera dalam medan perang. Khalid Al-Walid bukan yang paling alim ketika dilantik menjadi panglima.
Bahkan semasa perang Mu’tah beliau baru sahaja memeluk Islam. Namun setelah Zaid, Jaafar dan Abdullah Ar-Rawahah gugur, Khalid yang dipilih untuk memimpin tentera Islam kerana kemahirannya memimpin walaupun ada yang lebih alim fiid-dinn darinya. Begitu juga semasa kempen di bilaadil Syams. Khalid Al-Walid menjadi panglima utama sehingga digantikan dengan Abu Ubaidah Al-Jarrah atas arahan Umar kerana terlalu berjaya sehingga dianggap menjejas I’tiqad umat Islam!
Maka saya harap, jangan dipilih seseorang atas sebab semata-mata kerana beliau ulama ataupun bukan. Jangan juga menolak seseorang kerana semata-mata dia ulama. Jangan menyokong seseorang kerana semata-mata dia bukan ulama. Jangan juga menolak seseorang semata-mata kerana dia bukan ulama!
Pilih seseorang kerana dia mampu memainkan peranan sebagai Timbalan Presiden secara yang terbaik!
Memimpin parti mengharungi liku perjuangan politik melalui lembah fitnah dan tribulasinya, meredah paya penipuan dan kejahatan lawan serta menggalas cabaran ketinggian puncak kemenangan dan kejayaan.
Orang yang tidak mudah dikelirukan dengan fitnah dan tribulasi, malahan mampu membacanya dan menangkisnya sebelum ianya melanda. Orang yang tidak mudah termakan kata memuji dan janji kosong malah mampu membaca kejahatan disebalik kata manis itu. Orang yang mempunyai wawasan kemenangan yang jelas dan kaedah realistik untuk mencapainya.
Pengalaman Menyaksikan Saat Pengebumian Almarhum Ustaz Fadzil
Pilihlah orang seperti Sallahuddin Al-Ayubbi atau Muhammad Al-Fatih, atau Nuruddin Az-Zanggi atau Saifuddin Qutus. Mereka bukan dari golongan Juhala’ walaupun bukan juga dari golongan ulama’ namun mereka merupakan pimpinan yang mendepani cabaran zaman mereka dan mengatasinya dengan bantuan seluruh alim ulama dan cendiakawan Islam serta dokongan umat dan rakyat mereka.Atau pilih orang seperti Ibn Taimiyyah dan anak muridnya Ibn Qayyim atau Shah Wali Allah Delhi. Mereka ulama mujtahidiin wa mujahidin, yang mampu memutuskan hukum tetapi pada masa yang sama mempunyai ketangkasan dan kepimpinan yang sukar ditandingi oleh mana-mana pihak.
Pilihlah, bukan atas dasar klasifikasi dan kelompok, tetapi atas dasar kesesuaian dan kemampuan seseorang itu untuk jawatan yang mencabar sebegini rupa, iaitu Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia! – 12 September, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
Dicatat oleh ustazcyber di 4:48:00 PG
No comments:
Post a Comment