Risikan : 'Indonesia Panggil Duta Besar Pulang', Apa Pula Tindakan Malaysia ?
Marty Natalegawa
Indonesia hari ini bersikap tegas berhubung insiden intip dengar perbualan telefon Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Wanita Pertama Indonesia, Ibu Ani Yudhoyono serta beberapa anggota kabinet oleh pihak Australia, dengan memanggil pulang Duta Besarnya ke Australia di Canberra, Nadjib Riphat.Serentak dengan itu Indonesia juga akan mengkaji semula hubungan kerjasama dan pertukaran maklumat dengan Australia.
Menteri Luar Negeri Indonesia Marty Natalegawa berkata, pemanggilan pulang Duta Besarnya itu adalah untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang berlaku di Australia.
Keputusan itu dibuat kerana Indonesia berpendapat Duta Besarnya tidak akan dapat melakukan tugas dengan baik di tengah isu intip dengar yang sedang hangat diberitakan sekarang, katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin.
"Saya berpesan agar Duta Besar tidak hanya membawa beg kabin. Kami menunggu jawapan dari pemerintah Australia dan akan melakukan langkah satu per satu secara terukur," kata Marty.
Menteri Luar Indonesia itu berharap kerajaan Australia tidak meremeh dan mengecilkan isu itu kerana ia amat mengganggu keselesaan Indonesia.
Laporan media menyebut bahawa agensi perisikan Australia telah cuba mengintip dengar perbualan telefon Yudhoyono dan isterinya serta beberapa menteri kanan Indonesia pada tahun 2009.
Dokumen rahsia yang dibocorkan oleh Edward Snowden dan diterima media penyiaran Australia Broadcasting Corporation (ABC) dan akhbar harian The Guardian menyebut bahawa Presiden Indonesia dan sembilan orang terdekatnya sebagai sasaran intip dengar itu.
Marty berkata, Indonesia berada pada kedudukan tidak melanggar peraturan hubungan antarabangsa dan berada dalam tatalaku yang baik dari segi undang-undang dan beradab dalam hubungan dua hala.
Katanya, Kementerian Luar Negeri telah memanggil Kuasa Usaha Australia di Jakarta untuk mendengarkan pendirian Indonesia itu dan sedang dalam proses menghubungi Menteri Luar Australia Julie Bishop.
Mengenai kajian semula terhadap hubungan kerjasama Indonesia-Australia, Marty berkata ia termasuk langkah memastikan pelaksanaan prinsip timbal balik dalam kerjasama maklumat iaitu mengkaji semula jumlah pegawai Indonesia di Canberra dan pegawai Australia di Jakarta yang bertugas menangani masalah maklumat.
Langkah itu adalah bagi memastikan prinsip timbal balik itu dihormati dan dilaksanakan oleh kedua-dua negara, katanya.
"Ini bukan hari yang baik bagi hubungan Indonesia-Australia kerana isu intip dengar sangat membawa kesan dalam hubungan kedua-dua negara.
Namun, Indonesia adalah negara yang sanggup untuk berfikir secara rasional, untuk melakukan tindakan tegas namun terukur," kata Marty.
Sementara itu Menteri Penyelaras Bidang Politik, Undang-undang dan Keselamatan Indonesia Djoko Suyanto yang bercakap kepada media Indonesia, mendesak kerajaan Australia segera memberi penjelasan rasmi dan kepada masyarakat awam berhubung isu itu, selain mendesak negara itu agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan.
- Bernama
Dakwaan intipan: Najib tak cukup berani kritik Amerika, kata Anwar
dinmerican.wordpress.com
[tmi]- Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak cukup berani untuk mengkritik Amerika Syarikat ekoran dakwaan kegiatan intipannya di negara ini."Sehingga kini tidak ada kenyataan daripada perdana menteri.
Dia tidak berani mengkritik tindakan kasar dan tidak boleh diterima Amerika itu," kata Anwar dalam sidang Dewan Rakyat hari ini ketika membahas Bajet 2014 dalam peringkat jawatankuasa.
Baru-baru ini, Edward Snowden mendedahkan kegiatan pengintipan global yang dibuat oleh Amerika dan Australia di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Snowden mendakwa, Amerika menjalankan kegiatan pengintipan itu melalui stasen pengintipannya yang terletak di dalam bangunan kedutaan Amerika di Kuala Lumpur dengan mengintip perbualan telefon dan rangkaian komunikasi.
Bulan lalu, sumber perisikan Australia mengesahkan alat perisikan rahsia XKeyscore yang didedahkan Snowden telah digunakan untuk mengintip Malaysia di samping negara Asia Pasifik yang lain.
Berdasarkan laporan terakhir yang didedahkan Snowden yang kini mendapat perlindungan sementara di Moscow, Russia, terdapat 90 alat intipan yang dipasang di seluruh dunia termasuk di kedutaan Amerika di Jakarta, Bangkok, Phnom Penh dan Yangon.
Ekoran pendedahan itu, Menteri Luar Datuk Seri Musa Aman memberitahu rakan sejawatnya dari Australia, Julie Bishop,
"Intipan tidak sepatutnya dilakukan di kalangan rakan-rakan rapat yang boleh merosakkan hubungan."
Anwar juga melahirkan rasa hairannya kenapa tidak ada seorang pun pemimpin Umno khasnya di kalangan anggota Parlimen membangkitan isu dakwaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir bahawa terdapat ejen CIA di pejabat Peguam Negara.
"Saya tidak faham kenapa tidak ada seorang pun, khasnya MP Umno yang membangkitkan isu ini. Oleh kerana Dr Mahathir telah bercakap mengenainya, sepatutnya ada penjelasan.
Jika bukan ejen CIA, jadi apa kerjanya di pejabat Peguam Negara?" kata Anwar.
Sebelum ini, Anwar berkata, Gani patut digantung tugasnya segera berikutan dakwaan ejen CIA itu dan juga apa yang terkandung dalam akuan berkanun bekas Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.
Bulan lalu, Dr Mahathir mengakui beliau pernah mendengar adanya dakwaan tentang dua ejen CIA yang bekerja di pejabat Peguam Negara.
"Saya dengar. Saya tiada bukti, dua ejen CIA ada pejabat di Pejabat AG. Mungkin ada mungkin tidak.
Saya tak tahu. AG pun belum sahkan lagi," kata Dr Mahathir dalam satu sidang medianya.
IdaMan Blog
No comments:
Post a Comment