Khamis, 8 Mei 2014
Pemuda DAP gesa UiTM batalkan tindakan disiplin terhadap Mohd Fathihie Gadus
KUALA LUMPUR, 8 MEI: Pemuda DAP (DAPSY) hari menggesa pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) supaya menarik balik tindakan disiplin yang dikenakan kepada pelajarnya, Mohd Fathihie Gadus, kerana membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menerusi catatan di Facebook.
Ketua DAPSY Teo Kok Seong berkata, tindakan UiTM itu bukan saja tidak masuk akal, malah jelas tidak menghormati kebebasan pelajar itu dalam mengutarakan pandangan.
“Kami memohon pihak universiti supaya menarik balik kesemua pertuduhan terhadapnya kerana ia hanya pandangan peribadi dan langsung tidak bersangkut paut dengan UiTM.
“Pihak UiTM juga harus sedar bahawa universiti adalah tempat yang khusus untuk mendidik dan mengasah minda pelajar supaya berfikiran terbuka, bukannya mengongkong pemikiran mereka.
“Lagipun, ingin saya tekankan sekali lagi, posting beliau itu tidak berkaitan dengan akademik dan ditulis di ruangan peribadi,
“Saya juga tertanya-tanya mengapa pihak UiTM begitu sibuk memantau Facebook pelajar, di mana kebebasan bersuara dalam hal ini?” katanya kepada Roketkini.
Dalam surat bertarikh 28 April, pihak universiti menyatakan bahawa Fathihie, dari kampus UiTM Sabah, didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 merangkumi 11 pertuduhan.
Beliau didakwa membuat kenyataan awam yang boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatatertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 di kalangan pelajar UiTM cawangan Sabah.
Pelajar sarjana muda sains biologi itu juga didakwa melakukan kesalahan yang sama melalui lebih daripada 20 catatan di Facebook.
Jika didapati bersalah, dia boleh digantung dari universiti dan tidak dibenarkan masuk ke kampus.
Antara yang ditulis oleh Fathihie dalam laman Facebooknya adalah seperti berikut:
“…GST akan membebankan rakyat bawahan dan pertengahan. Mahasiswa mengecam tindakan kerajaan meluluskan pelaksanaan cukai ini sebelum membuat penerangan penuh.
“Tindakan meluluskan pelaksanaan cukai ini pada 1 Apr 2015 sebelum memberi penerangan kepada rakyat adalah satu tindakan yang menzalimi rakyat terutamanya golongan bawahan,” catatnya dalam status Facebook bertarikh 30 April 2014. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment