Pages

Thursday 11 September 2014

Siasat UPSR Bocor! Gantung Tugas Pengerusi Lembaga Peperiksaan KPM - Mahfuz Omar

Khamis, 11 September 2014

PERINGATAN:
  1. Kertas Science 018, 028, 038 ditangguhkan ke 30 September 2014

Siasat soalan UPSR bocor, gantung tugas Pengerusi LP

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta agar Pengerusi Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia digantung tugas dan bertanggungjawab di atas kebocoran kertas Peperiksaan Science 018 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Katanya, kegagalan kerajaan meneliti punca kebocoran serta mengambil tindakan menyebabkan isu kebocoran soalan peperiksaan ini berulang setiap tahun.

"Kita mahu Pengerusi Lembaga Peperiksaan Malaysia ini digantungkan tugas bagi membolehkan siasatan dilakukan secara menyeluruh.

"Kita melihat isu ini sentiasa berulang setiap tahun dan ia diam begitu sahaja tanpa ada pihak yang dipertanggungjawabkan," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau yang turut melahirkan kekesalan di atas kebocoran soalan ini sehingga menyebabkan pelajar terpaksa menghadapi peperiksaan bagi kertas Sains itu pada 30 September ini.

"Pelajar telah memberi tumpuan untuk menghadapi peperiksaan UPSR, namun tindakan ini menyebabkan pelajar hilang tumpuan.

"Ia suatu perkara yang amat kita kesali, kelalaian pihak tertentu dalam mengawal kertas-kertas soalan ini menyebabkan pelajar menjadi mangsa," sambung Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dianggarkan 472,853 orang pelajar yang menghadapi UPRS tahun ini terpaksa menghadapi kertas peperiksaan Science 018 yang dibatalkan hari ini pada 30 Septembar nanti.

Dalam satu kenyataan,  Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Science 018 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 11 September 2014 jam 8.15 hingga 9.30 pagi telah didapati bocor.

Berdasarkan siasatan awal pihak LP, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.

Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang. - HARAKAHDAILY 11/9/2014

UPSR: Kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga bocor


BERNAMA | .

PUTRAJAYA: Kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 (Kertas 1 dan 2) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) didapati turut bocor dan murid perlu mendudukinya semula pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
  
Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata perkara itu disahkan pada 11 pagi tadi selepas kementerian menerima maklumat malam tadi yang  disebarkan melalui media sosial.
  
Beliau berkata kementerian memohon maaf atas insiden kedua itu selepas soalan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 yang dijadualkan hari ini bocor dan terpaksa ditangguhkan ke 30 Sept.
  
“Kita akan pastikan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan yang sekeras-kerasnya kerana kita melihat integriti telah dipersoalkan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.
  
“Saya sekali lagi merakamkan rasa dukacita tentang apa yang berlaku dan memohon maaf kepada ibu bapa yang terpaksa menanggung kesusahan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian dan pelaksanaan Program Latihan Berteraskan Continuous Professional Development (CDP) di sini hari ini. - Bernama
Harakahdaily

No comments:

Post a Comment