Pages

Wednesday, 18 March 2015

'Mahu guna kalimah 'Allah', tapi tolak hukum Allah', kata Ketua Penerangan Umno Kelantan

Khamis, 19 Mac 2015

Kanun Jenayah Syariah II hanya untuk orang Islam
18 Mac 2015
KOTA BHARU - Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) yang lebih dikenali sebagai hudud, dibentangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja apabila dikuatkuasakan kelak.
Beliau berkata perkara itu merupakan antara empat pindaan yang dibuat dalam rang undang-undang itu iaitu hanya terpakai kepada orang Islam yang mukallaf yang melakukan kesalahan di Kelantan.
"Berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka," katanya.
Ahmad berkata rang undang-undang itu turut meminda Seksyen 15(2) Kanun Jenayah Syariah (II) dengan penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri.
Beliau berkata pindaan turut membabitkan Seksyen 46 iaitu membuang peruntukan 46(2) mengenai qarinah atau sebab zina bagi perempuan hamil tanpa suami.
Ahmad berkata pindaan keempat adalah tentang kelayakan hakim, pemberhentian hakim, gaji dan elaun hakim serta struktur mahkamah daripada Mahkamah Agung kepada Mahkamah Persekutuan dan penukaran kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang telah wujud daripada Suruhanjaya Kehakiman Negeri yang belum wujud.
Pindaan turut dilakukan pada struktur ayat untuk disesuaikan dengan undang-undang sedia ada, katanya.
Ahmad berkata kanun ini juga menyediakan peruntukan untuk kesalahan hudud dan hukuman bagi tujuh kesalahan iaitu sariqah (mencuri), hirabah (merompak), zina, liwat, qazaf, syurb (minum arak) dan irtidad (murtad).
Speaker Dun Datuk Abdullah Ya'kub memperuntukkan dua hari termasuk hari ini bagi rang undang-undang berkenaan dibahaskan.
Pas mempunyai 31 kerusi dalam Dun Kelantan, Barisan Nasional 12 kerusi dan PKR, 1 kerusi.
Sementara kerusi Dun Chempaka yang dimiliki Pas menjadi kosong selepas penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 12 Februari lepas, dan pilihan raya kecil untuk kerusi itu akan diadakan Ahad ini.
Kanun Jenayah Syariah II, yang juga dikenali sebagai hudud yang diluluskan pada 1993 tertangguh lebih 20 tahun dari segi pelaksanaan akibat kekangan perundangan.
Rang Undang-Undang itu yang sepatutnya dibentangkan pada persidangan dewan Disember tahun lepas telah ditangguhkan berikutan banjir luar biasa yang melanda Kelantan. -Bernama

'Mahu guna kalimah 'Allah', tapi tolak hukum Allah'

Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad mempertikaikan tindakan sesetengah pihak yang dilihat mahu menggunakan kalimah Allah tetapi tidak mahu hukum-Nya dilaksanakan.

Tanpa menamakan pihak tersebut, Md Alwi yang ADUN Kok Lanas itu turut mempersoalkan tindakan pihak tersebut yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.

"Baru-baru ini, sibuk sangat nak guna nama Allah sampai bawa ke mahkamah sebab nak guna nama Allah.

"Hari ini, Kelantan nak melaksanakan hukum Allah kenapa pula tak mahu? Kenapa kamu mahu (kalimah) Allah tetapi undang-undang-Nya kamu tidak mahu?

"Jawab soalan itu dulu," tegasnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan dan membahas pindaan Rang Undang-undang Syariah 1993 di DUN Kelantan di Kota Darulnaim hari ini.

Sebelum itu, Md Alwi menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke yang ingin mengambil tindakan terhadap PAS berhubung pelaksanaan undang-undang itu.

Sidang DUN Kelantan hari ini menyaksikan pembentangan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang menyentuh tentang kesalahan jenayah syariah hudud, qisas dan ta'zir yang terpakai kepada orang Islam yang mukalaf.

Jenis-jenis kesalahan hudud yang termaktub dalam pindaan itu ialah, Sariqah (mencuri), hirabah (orang yang merampas harta orang lain dengan kekerasan), zina termasuk liwat, qazaf (membuat tuduhan zina atau liwat), syurb (minum arak atau memabukkan), irtidad (murtad).

No comments:

Post a Comment