KUALA LUMPUR, 22 Julai:

Tindakan mencagarkan isteri bagi mendapat tempat sebagai calon dalam pilihan raya merupakan perbuatan yang karut, kata penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusof.
Kata Agus, beliau telah meneliti hujah-hujah daripada kedua-dua pihak iaitu pendokong PAS yang bersetuju dengan perkara itu supaya pemimpin yang dipilih atas tiket parti PAS tidak mengkhianati perjuangan, apatah lagi perjuangan Islam PAS.
Manakala bukan pendokong PAS pula mentafsir cerai perlu dibuat secara sukarela dan bukan dipaksa di mana perbuatan tersebut paling ditegah Allah dan tidak boleh dibuat main-main.
Jelas Agus, beliau tidak pasti sejauh mana kesahihan perkara ini dan adakah perkara seperti ini dibenarkan dalam Islam.
“Saya tidak berupaya untuk mengulas sah atau tidak sahnya baiah ini. Tetapi sebagai pelajar politik, komen saya sederhana sahaja.
“Saya terkejut isteri pun boleh dicagar sebagai syarat untuk setia pada parti bagi menjadi calon dalam pilihan raya.
“Merenung seterusnya, jika betullah ada bai’ah cerai talak tiga jika keluar dari parti PAS, ini adalah sekarut-karut tindakan!,” katanya di laman sosial Facebook beliau.
Ketua PAS Rantau Panjang, Abdul Fatah Harun sebelum ini menegaskan sumpah bai’ah yang dilafazkan oleh ahli-ahli Parlimen dan Adun PAS bukan perkara baru dan telah diamalkan sejak tahun 1990.
Beliau berkata demikian mengingatkan pimpinan parti terhadap sumpah bai’ah talak tiga ke atas isteri masing-masing sekiranya berhasrat meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB).