KUALA LUMPUR, 22 Julai:

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dan Pandan, Tony Pua dan Rafizi serta pemilik Kumpulan Media The Edge, Datuk Tong Kooi Ong boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata mereka boleh dijatuhkan hukuman tersebut selepas disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka disiasat selepas dikatakan terlibat dalam aktiviti yang didakwa boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.
“Kesalahan-kesalahan dalam skop menjejaskan demokrasi berparlimen berkenaan adalah merupakan kesalahan baru yang dimasukkan dalam Seksyen 124B sehingga Seksyen 124N yang diperkenalkan dalam Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012.
“Berdasarkan Seksyen 124B sehingga Seksyen 124E, ketiga-tiga mereka boleh dihukum penjara antara 10 tahun, 15 tahun dan juga 20 tahun selepas didakwa boleh menjejaskan demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, sekiranya ditanya kepada mana-mana Ahli Parlimen adakah pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau mana-mana skandal lain melibatkan menteri atau Perdana Menteri boleh dikenakan siasatan di bawah Kanun Keseksaan, sudah tentu ia dianggap tidak waras ataupun gila.
Jelas Kit Siang, beliau sudah tidak mengetahui adakah kegilaan itu telah menjadi sesuatu yang normal dalam urusan kerajaan.
“Semalam, saya mengatakan bahawa Malaysia akan berada dalam kegelapan tetapi tidak menyangka bahawa ia akan berlaku dalam sekelip mata.
“Saya ingin bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak apakah yang beliau mahu lakukan dengan Malaysia?
“Adakah beliau ingin menjadikan pejuang sebagai penjenayah?” soalnya.
“Kenapa anda ingin perajurit bertukar menjadi penjenayah?