Pages

Friday, 3 July 2015

Lim Guan Eng meminta Najib letak jawatan..."berbilion ringgit disalurkan ke akaun bank peribadinya"?

Jumaat, 3 Julai 2015

Najib digesa jawab dakwaan WSJ, saman atau letak jawatan...


Lim Guan Eng meminta Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sekiranya beliau gagal menjawab dakwaan dibuat Wall Street Journal (WSJ) yang berbilion ringgit disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri itu.

Setiausaha agung DAP itu berkata, buat pertama kalinya, beliau terpaksa meminta Najib berundur susulan pendedahan serius yang dibuat akhbar perniagaan itu.

"Saya tak pernah minta beliau meletak jawatan. Kami harap beliau boleh memberi respons kepada tuduhan yang serius itu.

"Najib sepatutnya failkan saman di Amerika Syarikat terhadap penerbitan itu bagi membersihkan namanya. Tetapi, terlebih dahulu, beliau mesti jelaskan isu itu. Jika tidak, beliau terpaksa letak jawatan.

"Ini satu tuduhan yang tidak pernah terjadi seumpamanya dan amat mengejutkan... Sebelum ini, tidak pernah terdapat tuduhan sebegini terhadap seorang perdana menteri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Juru hari ini.

Hari ini, WSJ dan Sarawak Report menyatakan artikel yang diterbitkan mereka itu berdasarkan dokumen daripada siasatan kerajaan terhadap 1MDB.

Dokumen itu, katanya, merupakan yang pertama melibatkan Najib secara langsung dengan siasatan terhadap syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Najib mengetuai lembaga penasihat 1MDB dan kini menghadapi tekanan politik yang semakin meningkat berhubung dana itu yang setakat ini mengumpul sejumlah RM42 bilion hutang.

Siasatan kerajaan itu, menurut WSJ, menunjukkan apa yang dipercayai penyiasat sebagai pergerakan tunai di kalangan agensi kerajaan, bank dan syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB, sebelum ia berakhir di akaun peribadi Najib.

WSJ berkata ia mengkaji borang pemindahan wang bank dan aliran carta yang diperolehi penyiasat kerajaan, mencerminkan pemahaman mereka tentang aliran tunai itu.

Ia masih tidak jelas dari mana wang itu datang dari dan apa yang berlaku kepada wang yang disalurkan ke dalam akaun Najib.

PAS pula menggesa Najib untuk mengambil langkah strategik dengan melakukan pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan beliau bersama isterinya bagi segera membersihkan namanya.

"Bank-bank yang dinamakan perlu dijadikan saksi dalam pengisytiharan harta ini supaya ia nampak telus dan berwibawa.

"Langkah mengisytiharkan harta ini dilihat jauh lebih efektif untuk menangkis tuduhan terhadap Najib pada kali ini," kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Sementara itu, PKR berkata ia bimbang dengan laporan itu dan menggesa perdana menteri menyaman WSJ bagi membersihkan namanya.

Naib Presidennya Tian Chua berkata, Najib seharusnya tidak ada masalah berbuat demikian kerana beliau pernah menyaman pihak lain yang dikatakan membuat laporan tidak tepat, seperti Malaysiakini, Media Rakyat dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

"Kalau perdana menteri benar-benar yakin, beliau patutnya saman WSJ kerana membuat laporan tidak tepat untuk membersihkan namanya," katanya pada satu sidang media di Petaling Jaya hari ini lapor The Malaysian Insider.

Posted by Anak Sungai Derhaka

No comments:

Post a Comment