Pages

Thursday, 15 October 2015

'Realiti Amanah' Sudah menjadi rakan An-Nahdah, Tunisia pimpinan Rashid Ghannouchi dan Parti AK Turki pimpinan Recep Toyyib Erdogan.

Khamis, 15 Oktober 2015

Paduan idea dan realiti Amanah

Oleh Abd Shukur Harun

https://fbcdn-photos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xtp1/v/t1.0-0/p480x480/12039359_872552936160779_3457088135487120236_n.jpg?oh=d77ae80a00d91ba3bdd5879e919ecb24&oe=569F0FD3&__gda__=1453368132_65ce9e98ce755f972943254492c1f6df"Menambah ahli penubuhan cawangan dan kawasan, mengadakan ibu pejabat di semua peringkat."

Semuanya ini dilakukan di tengah-tengah sambutan luar biasa dan sokongan pelbagai golongan masyarakat bandar, semi bandar, malah luar bandar juga.

Golongan veteran, orang lama dalam politik kelihatan bersama dengan generasi baru mendukung Amanah, suatu gelombang dan fenomena luar biasa.

Mengapa berlaku kebangkitan ini?

Jawapannya ialah rakyat membaca dan melihat wawasan Amanah, dalam parti itu wujud keharmonian antara golongan lama dan baru, sikapnya yang terbuka dan penuh toleransi tetapi tidak terkeluar orbit Islamnya.

Lebih segalanya, Amanah berpaksikan Islam sebagai Rahmatan Lil-Alamin - dengan segala keharumannya, bersifat pelindung kepada semua rakyat, pelbagai kaum dan agama. Ia berusaha menterjemahkan Islam itu dalam hakikat sebenarnya.

Inilah yang menyebabkan, antara lain, rakyat pelbagai kaum dan agama memberikan sokongan, iaitu apabila melihat Amanah boleh merealisasikan harapan mereka.

Bagi kalangan bukan Islam, mereka tidak takut dengan pendekatan Islam yang dibawa Amanah. Bukan kerana parti ini bersifat liberal dalam konotasi pihak yang keliru dan menentang Amanah.

Ditegaskan Amanah tetap meletakkan Islam sebagai dasar paramountnya. Namun ia bukan parti yang ekstrem dan konservatif dalam pendekatannya. Ia tetap moden dan terbuka sesuai dengan masyarakat moden pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Sungguh menarik pendekatan ini diterima golongan lama dan baru. Dalam semua perhimpunan Amanah di seluruh negara, semua golongan hadir dengan penuh minat untuk mendengar wejangan para pemimpin parti itu.

Mereka itu bukan saja golongan muda dan berpakaian biasa-biasa, tetapi juga yang berjubah dan berserban, malah ada berjanggut. Nampaknya tidak ada sebarang rasa kekok dalam semua himpunan itu.

Dalam hal ini saya terkesan dengan pandangan ulama tersohor, Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi dalam bukunya Wawasan Islam - antara keaslian dan kemodenan.

Menurut tokoh itu, sering terbentur pertembungan antara golongan lama dan baru, disebabkan nilai berbeza. Golongan lama mempertahankan nilai lamanya, sementara golongan muda menentang nilai lama itu. Maka terjadi pertembungan pendekatan yang seru.

Namun dengan segala kebijaksanaan dan keluasan fikrahnya, Dr Yusuf berkata pendekatan kedua-dua golongan itu masih boleh diharmonikan. Iaitu mengambil nilai yang baik daripada kedua-dua golongan itu.

Di sinilah, katanya terletak wawasan Islam yang murni. Iaitu keaslian tidak semestinya tidak moden, sementara yang moden pula tidak bererti tidak ada nilai Islam.

Di sinilah saya melihat Amanah berusaha mengharmonikan antara nilai lama dan baru dan ini sangat meyakinkan. Jika pendekatan ini berhasil diterapkan oleh Amanah, saya kira, Amanah akan menjadi parti yang sangat berpotensi untuk berkembang subur dan panjang hayatnya.

Justeru ia diterima pelbagai golongan, kerana menebarkan keharuman dakwahnya, ramahnya dan tidak menampilkan wajah bengis dan menakutkan serta sentiasa bersifat menghukum.

Ia akan muncul sebagai parti Islam yang mampu menjadi model terbaik, malah menjadi rakan An-Nahdah, Tunisia pimpinan Rashid Ghannouchi dan Parti AK Turki pimpinan Recep Toyyib Erdogan.

Di samping itu, Amanah tidak memandang rendah mereka di luar golongannya, maka ia menerima hakikat kehadiran demokrasi dan hak untuk membuat pilihan. Tetapi dalam masa sama, dakwahnya berterusan. Semuanya ini bergantung kepada kebijaksanaan.

Di sinilah saya teringat apa yang pernah diungkapkan bekas naib presiden Indonesia Dr Muhd Hatta, "Islam itu antara garam dan gincu. Garam itu isinya, iaitu dirasakan masinnya, sementara gincu hanya hiasan".

Tidak syak lagi, pendekatan progresif Amanah ini didorong tokohnya yang terdedah sekian lama dengan pendekatan tarbiah dan ilmu politik, bukan saja di dalam negeri bahkan juga di luar negara dengan pengalaman politik yang panjang pula.

Tokoh seperti Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Dzulkefly Ahmad, Salahudin Ayub, Dr Maria Mahmud, Nizar Jamaludin, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Anwar Tahir, Izham Hashim dan lain-lain adalah di antaranya.

Mereka bergandingan dengan tokoh ulama seperti Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, Ustaz Hasanuddin Yunus dan lain-lain ulama progresif yang kini semakin ramai memberikan sokongan kepada Amanah.

Bagaimanapun, lama sebelum penubuhan Amanah, tokoh ini sudah pun menampilkan idea pendekatan baru Islam ini dalam pelbagai wacana dan sebagainya, tetapi dengan Amanah inilah, saya melihat pendekatan progresif ini berpeluang direalisasikan, sementara rakyat pula sangat memerlukan pendekatan seumpama ini.

Perkembangan terkini Amanah yang sangat memberangsangkan, ialah sambutan hangat diterimanya di Kelantan, Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan seterusnya negeri lain. Aktivis Amanah kelihatannya bertungkus-lumus mengembangkan parti baru Islam ini. Di mana-mana warna jingga pekat - warna yang mendominasi Amanah kelihatan bermunculan di pelbagai majlis Amanah.

Sementara itu Amanah kini sudah menjadi salah satu komponen Pakatan Harapan, gabungan pakatan pembangkang yang baru. Rakyat mahukan Amanah mengambil peranan center stage dalam pakatan baru ini untuk memberikan sumbangan penting kepada keutuhan dan perpaduan pembangkang.

Adapun kesilapan pakatan pembangkang masa lalu hendaknya jangan berulang kembali. Tidak akan ada parti dan pemimpin dalam Pakatan Harapan yang merasakan lebih besar dan utama daripada yang lain.

Demikian juga janji yang dimeterai bersama nanti perlulah dipatuhi sepenuhnya. Kini rakyat sedang memerhatikan semuanya ini. Jika tidak ada kesilapan dibuat Pakatan Harapan kali ini, maka rakyat akan menyokong melalui peti undi nanti.

No comments:

Post a Comment