Amanah dakwa RUU MKN ada ‘muslihat’
Amanah mendakwa RUU MKN yang bercanggah dengan Perlembagaan digubal secara tergesa-gesa sedangkan negara dalam keadaan aman.
KUALA LUMPUR : Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu mempunyai ‘muslihat’ tertentu.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, Amanah khuatir RUU MKN itu dibuat disebabkan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang semakin merudum.
“Persoalan timbul..mengapa tidak ada angin bertiup, tiba-tiba pokok bergoyang? Malaysia aman tiada isu serangan mana-mana pihak. Suasana dalam keadaan terkawal.
“Tetapi tiba-tiba RUU yang bercanggah dengan Perlembagaan..beri kuasa yang besar kepada pemimpin politik digubal begitu tergesa-gesa,” katanya pada sidang medianya bersama kepimpinan parti itu di Wisma Amanah pada Selasa.
Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam menambah, tiada kerajaan yang membuat undang-undang sewenang-wenangnya dan meletakkan ‘di dalam almari’.
“Isu ini sangat besar kerana undang-undang ini bercanggah dengan Perlembagaan, merampas kuasa Yang di-Pertuan Agong dan meletakkan kuasa di tangan ahli politik iaitu Perdana Menteri yang berkepentingan.
“Rakyat perlu peka dan bangun menentang,” kata Khalid.
Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir berkata, sayap Pemuda parti itu akan membuat laporan polis secara besar-besaran bermula esok di seluruh negara bagi menentang RUU MKN itu.
“Amanah telah mengarahkan kepimpinan Amanah negeri untuk menghantar memorandum bantahan tentang RUU tersebut kepada Sultan dan Yang di-Pertua Negeri masing-masing.
“Amanah juga akan bersama-sama Pakatan Harapan menggerakkan rakyat di seluruh negara untuk mengadakan satu perhimpunan aman besar-besaran di Istana Negara, meminta Mahlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan RUU tersebut tidak diwartakan sebagai undang-undang yang berkuat kuasa di negara ini,” katanya.
Tambahnya, parti itu juga akan mengarahkan Biro Undang-Undang Amanah untuk mengkaji tindakan mahkamah bagi mencabar keabsahan RUU terbabit sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) masih berkeras mahu mewartakan sebagai undang-undang.
“Amanah juga akan menjelajah ke seluruh negara bagi menyedarkan rakyat tentang kesan buruk RUU ini kepada negara dan rakyat seluruhnya,” jelasnya.
FMT.
No comments:
Post a Comment