Jangan terperangkap dengan mainan politik Najib, kata Pakatan
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu membidas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berharap rakyat dapat membezakan antara masalah sebenar didepani negara dan isu yang cuba dimainkan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Disember, 2015.
Dalam satu kenyataan bersama, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu membidas kenyataan perdana menteri pada Perhimpunan Agung Umno semalam.
Mereka berkata, mereka percaya rakyat dapat membezakan antara masalah sebenar didepani negara dan isu yang cuba dimainkan perdana menteri.
Pemimpin pembangkang itu berkata, skandal yang menyelubungi presiden Umno itu tidak ada kaitan dengan perjuangan Melayu dan Bumiputera, tetapi disebabkan dana pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun peribadi beliau yang masih belum dijelaskan.
"Helah beliau yang cuba memainkan api perkauman bagi menutup skandal peribadi adalah terkutuk dan merendahkan lagi kedudukan beliau di mata rakyat," kata mereka.
"Pakatan Harapan menyeru supaya rakyat terutamanya kaum Melayu tidak terperangkap dengan permainan perkauman.
"Kami yakin rakyat boleh membezakan permasalahan sebenar dan tidak akan terheret ke dalam permainan perkauman ini yang menjadi tali hayat terakhir Datuk Seri Najib Razak," kata pemimpin Pakatan itu.
Mereka berkata, Pakatan akan terus menumpukan kepada isu berkepentingan rakyat seperti kos sara hidup yang meruncing, sistem percukaian tidak adil, peluang pekerjaan golongan muda dan tata kelola membanteras rasuah.
Pemimpin pembangkang itu juga berkata, gabungan itu komited mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di negara ini. – 11 Disember, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-terperangkap-dengan-mainan-politik-najib-kata-pakatan#sthash.ZhmVEwyb.dpuf
No comments:
Post a Comment