Pages

Friday, 25 December 2015

Setiausaha kerja PAS Perak letak jawatan..."Kerana terpaksa aku melangkah pergi".

Jumaat, 25 Disember 2015
Setiausaha kerja PAS Perak , Khalilul Rahman letak jawatan.
Oleh Khalilul Rahman 

Kerana terpaksa aku melangkah pergi

Pagi ini sepanjang jalan menuju ke pejabat dari Kuala Kangsar ke Ipoh mengalir airmata aku. Minggu ini terakhir buatku di pejabat itu setelah 30 tahun hampir menumpahkan kasih dan baktiku walau sedikit namun aku puas. Terkenang sesuatu yang indah yang terpahat kuat dalam diriku. 

Seminggu dua ini aku teringat kenangan itu dan terasa sedih dan sayu. Liku – liku mehnah dan tribulasi nakal bermain di benak dan fikiranku. Bermula bertugas secara part time ketika pejabat itu di Bandar Baru, Kuala Kangsar dan secara full time di Air Kuning, Taiping. Berpindah lagi di Bandar Ipoh Raya, Ipoh hingga kini. Sekali lagi sebak kerana ketika itu ramai yang tidak memahami sikap aku. 

Sejak kelmarin pejabat aku yang 3 tingkat itu aku renung sepuas – puasnya. Aku lawati bilik – bilik mesyuarat dan dewan seminar yang aku jaga dengan baik bakal aku tinggalkan. Bilik aku yang comel itu juga yang akan disi oleh orang lain, aku berharap jagalah kekemasannya nanti. Aku tahu terkadang ramai yang rungut diri aku tegas,displin dan terlalu protokol. Aku hormati suara – suara itu. Di pejabat itu kadang – kadang kawan hairan kerana lat beberapa bulan position susunatur di ruang tamu berubah – ubah. Kalian tahu aku cerewet dan kalian juga tahu aku sukakan kemas dan bunga – bunga. Sahabat aku Sdra Ismad dan Ustaz Halim@Ustaz Yeop dan lain – lain banyak membantu. Aku juga banyak belajar erti kesabaran dari AF Ustaz Misbahul Munir. Terima kasih sahabat. 

Aku bertuah dan berbangga kerana banyak yang aku pelajari disana. Kekanda Tuan Haji Noh Ahmad adalah guru pentadbiran aku. Ilmu pilihanraya banyak aku belajar dari kekanda Cikgu Radzi dan AF Ustaz Haji Azizan Mohd Desa seorang guru politik yang matang.  

Manakala Almarhum Tuan Guru Haji Sabran Asmawi mengajar aku erti kasih sayang. Begitu juga Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Kadir Kahar dan Almarhum Tuan Guru Haji Mohd Arif begitu kasih aku kepada mereka. Aku amat hargai. 

Kepada sahabat – sahabat aku di luar sana.Kita tetap bersaudara walaupun kalian memilih warna ini dan warna itu. Tiada yang boleh memisahkan persaudaraan kita yang sekian lama dibina. 

Teruskan kalian membuat kebaikan kerana sesuatu yang baik itu tidak perlu kata – kata indah. Ianya tetap baik dan indah walaupun manusia tidak menyebutnya. Sepertimana bunga – bunga yang indah dan harum walaupun tidak dipuji, ianya tetap mekar menghiasi taman. 

Sahabat yang memahami jiwa dan prinsip aku, mereka tahu kenapa aku melangkah pergi. 

Selamat tinggal kenangan dan selamat tinggal sahabat. Doakan aku. 

- Nyamuk Menggigit 

Posted by mountdweller at 7:35 PM 

No comments:

Post a Comment