Pages

Saturday, 5 March 2016

Mengapa memilih Tun M sebagai TALIAN HAYAT akhir? Adakah pembangkang dilihat gagal mencari titik persamaan.

Sabtu, 5 Mac 2016

#SelamatkanMalaysia? Surat terbuka buat pembangkang Malaysia

March 5, 2016
Kita sedia maklum Tun mendesak Najib untuk melepaskan jawatan dan bukannya Tun menentang UMNO berbeza dengan pembangkang
COMMENT

Oleh Muhammad HafizRayyan
Kelantangan Anwar Ibrahim dalam isu korupsi dan kronisma ketika di dalam UMNO menyebabkan beliau disingkirkan dari kerajaan secara zalim oleh Tun Mahathir dan dipenjarakan pada tahun 1999. Bermula dari peristiwa ini membawa kepada munculnya gerakan reformasi pada 2 September 1998. Sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Nasional pada 4 April 1999 (kini Parti Keadilan Rakyat).
Selepas penangkapan Anwar yang membawa kepada siri demonstrasi besar-besaran memperlihatkan amukan rakyat sehingga berpecahnya UMNO dan lahirnya PKR. Tubuhnya parti ini adalah kesan daripada kezaliman yang dilakukan Tun Mahathir terhadap bekas Timbalan beliau sendiri iaitu Anwar secara tidak langsung memberi kesan yang hebat dalam sejarah politik tanah air. Kewujudan parti ini ini lantas mengubah landskap politik di Malaysia sehingga pada tahun 2008, Barisan Nasional buat pertama kalinya hilang majoriti dua pertiga. Pembangkang yang ketika itu terdiri daripada PKR, Pas dan Dap semakin mendapat sambutan oleh rakyat apabila pada tahun 2013 BN hilang pula undi popular kepada pembangkang yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.
Dua tahun selepas Pakatan Rakyat memperoleh kejayaan yang memberangsangkan pada pilihanraya ke-13, Parti Keadilan Rakyat (PKR) `kehilangan’ Ketua Umumnya Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun. Selang dua hari selepas pemenjaraan Anwar, Pas pula kehilangan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Nik Mat yang kembali ke rahmatullah. Nik Aziz dilihat sebagai tokoh penting yang menjadi penyatu antara PAS dengan PKR dan DAP selain Anwar. Kehilangan kedua-dua pemimpin ini memberi kesan yang dahsyat kepada Pakatan Rakyat kerana peranan kedua-duanya merupakan penggerak kepada perpaduan bukan sahaja antara parti tetapi juga antara pemimpin dalam Pas, PKR dan DAP.
Hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib terpalit dalam skandal 1MDB serta isu derma RM2.6 bilion dan beberapa lagi skandal yang dibongkar oleh pembangkang malah bekas Perdana Menteri Malaysia sendiri iaitu Tun Mahathir juga turut serta menghentam kepimpinan Datuk Seri Najib. Tun Mahathir dilihat begitu fokus dalam misinya untuk menyingkirkan Najib apabila berterusan menggunakan isu yang sehingga kini gagal ditangani dengan baik oleh UMNO lebih-lebih lagi mengenai derma peribadi RM2.6 bilion serta 1MDB.
Kelemahan kepimpinan Datuk Seri Najib sepatutnya memberi kelebihan buat pembangkang untuk mengambil peluang ini.Malangnya pembangkang hari ini sudah berpecah dan tidak bersatu serta saling menyerang sesama sendiri. Parti pembangkang dilihat gagal mencari kesepakatan bersama berbeza ketika Anwar Ibrahim mengetuai pembangkang disamping Nik Aziz yang turut bersama menjadi penggerak kepada perpaduan antara pemimpin dalam Pas, PKR dan DAP.
Pembangkang dilihat gagal mencari titik persamaan dan seolah memilih Tun Mahathir sebagai talian hayat akhir pembangkang menuju Putrajaya. Kita tidak lupa dengan nasib tiga Timbalan ketika Tun menjadi Perdana Menteri. Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim yang dibunuh kariernya. Anwar Ibrahim antara sosok yang dilihat paling berpengaruh, berani dan bingkas bangun untuk melawan Tun Mahathir berbanding timbalannya yang lain seperti Musa Hitam, Ghafar Baba dan Pak lah.
Keluarnya Tun dari UMNO selepas kecewa dengan pentadbiran kerajaan yang diketuai Datuk Seri Najib Razak mengulangi sejarah ketika Pak Lah menjadi PM. Tun keluar UMNO pada tahun 2008 kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan UMNO yang diterajui Pak Lah. Kemudian Tun sertai semula selepas perlantikan secara rasmi Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Persoalan yang timbul; adakah Tun buat untuk Malaysia atau demi kepentingan Tun sendiri? Jika untuk kepentingan Tun sendiri adalah lebih baik tidak ambil peduli. Sejarah kali ini berulang semasa Tun keluar dari UMNO ketika Pak Lah menjadi PM.
Kita sedia maklum Tun mendesak Najib untuk melepaskan jawatan dan bukannya Tun menentang UMNO berbeza dengan pembangkang yang mahukan perubahan secara total dan bukan hanya perubahan perdana menteri atau beberapa orang menteri yang ditukar ganti dan itu jelas matlamat pembangkang.
Pembangkang hari ini berjaya memenangi sokongan rakyat adalah hasil dari kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan. Jangan khianati perjuangan rakyat yang menyokong wadah perjuangan kalian lebih-lebih lagi pejuang rakyat yang masih setia semenjak era reformasi yang terjadi daripada keangkuhan pemerintahan Tun Mahathir sendiri. Selepas sidang media #SelamatkanMalaysia jelas menunjukkan Tun Mahathir bukan menentang BN tetapi Najib. Berbeza dengan pembangkang yang mahukan perubahan secara total serta transformasi terhadap demokrasi di Malaysia. Terima kasih pada Ambiga yang sempat membangkitkan kezaliman terhadap Anwar. Di mana tokoh politik PKR yang lain?
Perlu diingat, Najib menjadi PM atas percaturan Tun Mahathir. Kini Tun memulakan kempen menjatuhkan Najib. Kita bersorak girang dengan serangan Tun Mahathir. Tetapi yang menjadi persoalan; adakah kejatuhan Najib sebagai perdana menteri melemahkan BN atau menguatkan BN selepas ketiadaan Najib? Buat pembangkang, adalah lebih baik cari jalan menyatukan semula parti-parti pembangkang berbanding menggadai prinsip perjuangan dengan memilih Tun Mahathir yang kalian sendiri akui sebagai bapa segala punca kebobrokan yang berlaku. Jika langkah penyatuan pembangkang-Tun Mahathir ini untuk kepentingan rakyat, maka itu adalah yang terbaik. Namun, jika penyatuan ini untuk kepentingan individu tertentu, maaf! Ia langkah yang tidak boleh diterima.
*Muhammad HafizRayyan adalah pemerhati bebas politik
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

No comments:

Post a Comment