Pages

Wednesday, 18 May 2016

Mesej reformasi sampai ke ahli Umno melalui Deklarasi Rakyat... "Akses kepada “pasaran baru” berpeluang berceramah kepada orang Umno".

Rabu, 18 Mei 2016

Mesej reformasi sampai ke ahli Umno melalui deklarasi rakyat

umno-assembly_li9bwf
Peluang menembusi kubu kuat Umno dan membawa mesej reformasi kepada ahli dan penyokong tegar parti Melayu itu adalah satu kejayaan besar buat pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang menyokong inisiatif Deklarasi Rakyat.
Menerusi inisiatif yang diterajui bekas orang kuat Umno Tun Dr Mahathir Mohamed, pemimpin gabungan parti Pakatan Harapan dan aktivis sivil bersifat politik berjaya mendapat akses kepada “pasaran baru” yang selama ini ditutup kepada mereka.
Hujah tersebut diketengahkan oleh pemimpin pembangkang dan aktivis sivil walaupun bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setengah penyokong mereka meragui keikhlasan Dr Mahathir.
Peluang berceramah kepada orang Umno merupakan antara sebab utama Deklarasi Rakyat disokong oleh beberapa tokoh besar pembangkang seperti Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan timbalan presiden PKR Azmin Ali.
Pengalaman berkempen di kalangan ahli dan penyokong Umno didedahkan pemimpin Amanah Khalid Samad dan aktivis hak asasi terkemuka tanahair Datuk Ambiga Sreenevasan.
“Sebagai penceramah politik kita dah berapa kali turun ke kampung untuk berceramah tetapi orang Umno tak pernah keluar rumah datang dengar kita,” kata Khalid semasa menceritakan pengalamannya turun berkempen di kawasan pendalaman yang mempunyai ramai penyokong Umno.
“Tetapi apabila kita turun bersama Tun, kita dapat berucap kepada ahli Umno dan menyebarkan mesej perubahan,” kata Khalid.
Ambiga menambah bahawa melalui pentas inisiatif itu, aktivis sivil seperti dia dapat mendidik orang Umno tentang kepentigan merombak sistem pilihanraya.
Ini merupakan satu peluang unik yang beliau mungkin tidak dapat alami sekiranya tidak bergabung dengan tokoh Umno seperti Dr Mahathir.
“Kita tak boleh nafikan bahawa Dr Mahathir masih mempunyai pengikut yang ramai dan melalui dia kita juga dapat menyebarkan mesej tentang kepentingan memulihkan institusi negara,” kata Ambiga.
Khalid dan Ambiga berucap di dalam satu debat yang memaparkan dua pasukan aktivis dan pemimpin pembangkang yang masing-masing pro dan anti-deklarasi di Kuala Lumpur semalam.
Khalid, Ambiga dan ahli Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menganggotai pasukan pro-deklarasi.
Kumpulan saingan mereka dianggotai ahli jawatan kuasa Parti Sosialis Malaysia S Arutchelvan dan ketua gerakan pro-pembangkang Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badarul Hisham Shaharin.
Debat tersebut telah diadakan bagi membincang tentang kewajaran pembangkang bekerjasama dengan Dr Mahathir, seorang pemimpin yang dituduh telah menyekat hak berpolitik dan memenjarakan ramai aktivis semasa pemerintahannya selama 22 tahun.
Deklarasi yang diterajui Dr Mahathir itu mendesak supaya Najib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ekoran penglibatannya di dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MBD) dan wang derma RM2.6 billion.
Deklarasi tersebut juga menuntut supaya undang-undang yang menyekat hak asasi dimansuhkan dan memulihkan institusi seperti polis, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) yang telah dilemahkan.
Initiatif tersebut telah mendapat sokongan musuh politik Dr Mahathir semasa beliau Perdana Menteri dan president Umno.
Akan tetapi kerjasama antara parti Pakatan dan Dr Mahathir dikritik oleh Anwar di dalam satu surat beliau daripada penjara. Antara lain, Anwar memperingatkan sahabatnya di dalam PKR supaya berwaspada terhadap Dr Mahathir dan tidak berkompromi dengan agenda reformasi PKR.
Ambiga berkata beliau dan pemimpin Pakatan sedar bahawa Dr Mahathir dan pemimpin Umno yang menyokong deklarasi itu mempunyai agenda yang berbeza.
Tetapi ini tidak harus menjadi faktor penghalang kepada kerjasama antara mereka sekiranya sesetengah objektif deklarasi itu tercapai seperti memaksa Najib meletak jawatan dan memulihkan sistem pilihanraya yang tidak adil.
“Kita sedar bahawa bila sampai pilihanraya ke-14 parti Umno akan berlawan dengan pembangkang. Tetapi kalau kita mendapat sokongan Umno untuk merombak sistem pilihanraya itu satu kejayaan yang besar.”
Khalid pula menangkis dakwaan bahawa pemimpin pembangkang akan dimanipulasi oleh Dr Mahathir yang sebenarnya mempunyai agenda untuk menyelamatkan Umno.
Menurut teori ini, Dr Mahathir akan berkempen menentang pembangkang selepas beliau berjaya menumbangkan Najib sebagai Perdana Menteri dan presiden Umno.
“Saya tidak fikir bahawa Dr Mahathir dengan senang-wenang akan dapat melakukan agenda dia. Apa kita takut dengan Dr Mahathir? Dia manusia biasa.
“Saya tidak suka kepada tanggapan bahawa kita tidak boleh mengatasi agenda Dr Mahathir,” kata Khalid.

 THE MALAYSIAN MIRROR

No comments:

Post a Comment