Pages

Saturday, 30 July 2016

Mengapa Pas tidak wajar kekal dalam kerajaan Selangor..."Kerana Pakatan Rakyat sudah berkubur"

Ahad, 31 Julai 2016

Mengapa Pas tidak wajar kekal dalam kerajaan Selangor

Persoalan kedudukan Pas dalam kerajaan Negeri Selangor dewasa ini terus menjadi bahan perbincangan. Dalam menjelaskan keberadaan Pas  dalam kerajaan Selangor walaupun Pas merupakan sebuah ‘rogue party’ atau parti yang bagaikan lawan terhadap Pakatan Harapan, bermacam-macam alasan dan hujah dikemukakan.
Ada beberapa hujah yang benar tetapi tidak tepat.
Dulu Pas ada, Amanah tidak ada
Antara hujah yang dikemukakan adalah “dulu Pas ada dan Amanah tidak ada”. Kata-kata ini ditonjolkan media walaupun mungkin yang menyebutnya memberi penjelasan yang lebih lengkap.
Hakikatnya dulu pun Amanah sudah ada tetapi kami berada di dalam Pas. Kami adalah serpihan dari Pas, iaitu serpihan yang terdiri dari golongan pemimpin dan ahli yang menyokong secara bersungguh-sungguh Pakatan Rakyat.
Mungkin ada yang lupa betapa meruncingnya perbalahan antara Pas dan Pakatan Rakyat sebelum ini. Perbalahan ini telah menyaksikan peristiwa seperti:
1. Pertandingan antara Pas dan PKR sehingga berlakunya tiga penjuru di Kota Damansara dan beberapa kerusi lain.

2. Tuduhan tanpa bukti mahupun saksi bahawa ada calon PKR menjual pil kuda.
3. Usul kaji kembali kerjasama dengan Keadilan, dan

4. Berbagai-bagai lagi tindakan khianat Pas.
Kemuncak perbalahan ini adalah krisis Menteri Besar (MB) Selangor di mana Pas dengan sokongan Umno telah mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) sebagai MB, sedangkan PKR dan DAP telah menolaknya. Sebelum itu tersebar luas mesej whatsapp Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Zuhdi Marzuki dengan sikap khianat yang disyorkannya untuk Pas.
Ini telah akhirnya menghasilkan suasana muktamar Tahunan Pas tahun 2014 di mana golongan yang menolak TSKI dan memilih untuk bersama PKR dan DAP menyokong Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah digelar ‘barua dan boneka’ oleh Presiden Pas. Yang dimaksudkannya dengan kalimah ‘barua dan boneka’ itu adalah barua dan boneka PKR dan DAP. Ini adalah kerana mereka tidak mengikut arahannya untuk bersama mempertahankan TSKI sebagai MB dengan sokongan Umno/BN!
Perbalahan ini menyebabkan kami terpaksa keluar dari Pas untuk membentuk Amanah setelah dilihat pendekatan khianat dan berbalah ingin terus dilaksanakan Pas selepas muktamar 2015.
Kami berani mengatakan bahawa dengan adanya kami di dalam Pas maka Pakatan Rakyat telah muncul sebagai gabungan kerjasama parti pembangkang yang kukuh sehingga meningkatkan prestasinya dalam pilihan raya 2013 khususnya di Selangor. Oleh itu amat tidak tepat untuk mengatakan kami ‘tiada’ pada ketika itu.
Kalau kami ‘tiada’ pada ketika itu, mungkin keadaan Kota Damansara adalah keadaan di seluruh negara pada 2013 dan bukan sekadar di beberapa kerusi.
Kalau kami ‘tiada’ pada ketika itu mungkin kerajaan Selangor dan Perak pada 2008 adalah kerajaan gabungan Pas dan Umno/BN.
Kalau kami ‘tiada’ pada ketika itu, mungkin TSKI terus kekal sebagai MB hingga hari ini dan kerajaan Selangor sekarang ini adalah kerajaan Pas dan Umno/BN.
Oleh kerana kami ada pada masa itulah maka apa yang ada sekarang dapat dikawal dan dipertahankan. Maka jangan diketepikan hakikat kehadiran kami dan peranan yang telah kami mainkan.
Sikap Pas seperti yang disaksikan hari ini adalah sikap tanpa adanya kami. Sekiranya itulah sikap Pas sejak dahulu, sudah pasti Pakatan Rakyat tidak mungkin dapat wujud di alam nyata. Dan sikap Amanah hari ini adalah sikap yang telah memungkinkan wujudnya Pakatan Rakyat.
Oleh itu, harap maklum ya, kami telah ada sejak dahulu.
Mandat diberi kepada Pas, PKR dan DAP membentuk kerajaan Selangor
Ini juga satu kenyataan yang benar tetapi tidak tepat.
Sebenarnya mandat diberi kepada Pakatan Rakyat pada 2013 dan bukan kepada parti-parti secara individu. Mesti diingat bahawa pada 2013 kita telah menghadapi pilihan raya sebagai Pakatan Rakyat walaupun bertanding atas logo masing-masing atas sebab-sebab teknikal.
Manifesto yang ditawarkan adalah manifesto Pakatan Rakyat dan rakyat Selangor memberi mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah. Dalam erti-kata lain, rakyat ingin ketiga-tiga parti ia itu Pas, DAP dan PKR berkerjasama memerintah negeri Selangor secara bersama berdasarkan manifesto tersebut.
Malangnya Pas khususnya tidak memahami maksud mandat tersebut dan sentiasa mendakwa Pas menang atas kekuatan Pas sendiri sehingga berterusan menempelak rakannya dalam Pakatan Rakyat.
Pada awalnya yang menjadi sasaran Pas adalah PKR dan kemudiannya DAP. Akhirnya Pakatan Rakyat telah terkubur dan walaupun ianya dihidupkan di Selangor, hakikatnya ia hidup dalam keadaan bergantung kepada ehsan dari presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Semangat kerjasama sebenarnya tidak lagi dijiwai dan dihayati.
Dalam usaha untuk menghidupkan kembali kerjasama seperti mana yang diinginkan rakyat Selangor, maka ditubuhkan Pakatan Harapan (PH). Pakatan Harapan lebih menyerupai Pakatan Rakyat dahulu berbanding hubungan Pas, PKR dan DAP yang wujud di Selangor dewasa ini. Dalam erti-kata lain PH ditubuhkan untuk memenuhi mandat yang diberi rakyat Selangor kepada Pakatan Rakyat setelah Pas khianat. Ini adalah kerana kerjasama antara tiga parti yang diinginkan rakyat Selangor tidak mampu dilaksanakan lagi oleh gabungan Pas, Keadilan dan DAP. Ia hanya mampu dilaksanakan oleh Amanah, Keadilan dan DAP.
Kesimpulan
Saya tidak nafikan kebenaran apa yang dikatakan semua pihak dalam soal ini.
Hanya ianya tidak setepat mana yang sepatutnya kerana keadaan sudah berubah. Hubungan antara Pas, Keadilan dan DAP tidak seperti dahulu. Hanya yang berada dalam perigi buta sahaja yang tidak menyedari hakikat ini dan ingin berpura-pura menipu diri bahawa ianya tetap sama.
Bagi yang menyatakan Pakatan Rakyat masih wujud, sila panggil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Sila keluarkan kenyataan atas nama ketiga-tiga Presiden dan buktikan kewujudannya. Kalau tidak boleh maka terimalah hakikat, ianya sudah tiada.
Move on!
Kita tidak perlu berpaut kepada dahan yang rapuh. Bina kekuatan atas apa yang ada.

No comments:

Post a Comment