1MDB: Sejak 4 hari lalu polis diam seribu bahasa, DAP buat laporan kedua
KUALA LUMPUR, 10 SEP: DAP hari ini hadir ke Balai Polis Dang Wangi bagi membuat laporan polis berhubung intipati artikel akhbar, The Wall Street Journal (WSJ) Selasa lepas, yang mendedahkan berlakunya subahat dua kakitangan bank tempatan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) untuk menggelapkan dana terkait 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng dan Ahli Jawatankuasa Wanita DAP Selangor, Young Syefura Othman membuat laporan tersebut awal pagi ini yang antara lain menuntut dua pegawai kakitangan Ambank, Joanna Yu dan Cheah Tek Kuang disiasat kerana didakwa membantu Jho Low memindahkan sejumlah US$1 bilion ke dalam akaun bank peribadi milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Saya meminta polis dan Bank Negara Malaysia menyiasat aktiviti Joanna Yu dan Cheah Tek Kuang memindahkan wang berjumlah besar itu sama ada melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, Akta Perkhidmatan Kewangan dan lain-lain,” kata laporan ditandatangani Lip Eng, yang juga merupakan seorang peguam.
Sementara itu, Rara yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor berkata, agensi kerajaan yang bertanggungjawab seharusnya tidak memandang ringan pendedahan akhbar antarabangsa itu dan segera melakukan siasatan terhadap individu-individu berkenaan.
“Laporan dan pendedahan WSJ terbukti mempunyai kredibiliti apabila kes siasatan 1MDB sekarang telah dibuka di Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan kleptokrasi.
“Jika pihak berkuasa boleh bertindak pantas dan segera dalam kes yang melibatkan bola sepak negara, kes yang melibatkan duit rakyat dan pemimpin utama negara seperti 1MDB ini perlulah mendapat prioriti yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, laporan polis yang dibuat hari ini adalah susulan daripada laporan berkaitan isu sama yang dibuat beliau pada 6 September yang mana sehingga kini tiada sebarang penerangan yang dibuat Ambank, Bank Negara dan polis mengenai laporan itu.
“Jika pihak berkuasa masih tidak mahu ambil tindakan terhadap Ambank dan dua pegawai bank itu berhubung dengan laporan saya, saya dengan tegas meminta supaya BNM untuk mengarahkan semua bank khasnya Ambank menghapuskan keperluan untuk pengguna mengisi butir tujuan pengiriman, pembayaran dan sumber wang yang dikirim seperti yang diwajibkan, kerana ia (kini) tak perlu, sebab Najib sendiri dibenarkan untuk tidak melakukannya.
“Rakyat perlu belajar dari beliau (Najib), kerana beliau adalah role model terbaik di negara ini,” katanya dengan nada sinis. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment