Masalah negara bukan kerana DAP tetapi angkara Umno-BN
Pemuda Amanah Negeri Johor menyifatkan sikap konfrontasi Pas tidak menggambarkan keindahan Islam apabila memainkan sentimen DAP memerangi Islam yang sebelum ini menjadi alat Umno-BN.
Ketuanya, Taqiuddin Che Man berkata, seluruh rakyat tidak harus hilang tumpuan memandangkan kepincangan urus tadbir negara berpunca daripada pemimpin Umno bukan disebabkan DAP.
"Hari ini yang menjadi masalah negara bukan DAP tetapi kebejatan pimpinan Umno dalam menguruskan harta negara. Fokus kita dan rakyat sewajarnya diberikan kepada menurunkan Umno dan mengembalikan kemuliaan negara melalui kepimpinan yang amanah, adil dan kompeten," tegasnya.
Mengulas sikap semasa politik Pas, beliau berkata, parti yang diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu gagal mempraktikkan akhlak Islam seperti apabila mengutuk DAP kononnya memusuhiIslam dan pada masa sama memperlekeh Amanah.
"Saban hari, kita lihat Pas menghentam DAP dengan melaungkan DAP anti-Islam walaupun tiada bukti yang kukuh. Bahkan ada beberapa pimpinan tidak malu untuk melempar fitnah menuduh DAP menghalang azan di Pulau Pinang yang akhirnya terbukti fitnah.
"Fiil Pas yang memberi label-label jahat terhadap Amanah juga memberi gambaran bahawa parti ini gagal mengamalkan akhlak Islam yang dilaung-laungkan," bidas Taqiuddin dalam satu kenyataan.
Sepatutnya, tegas beliau, Pas sebagai parti yang membawa agenda Islam menghulur tangan damai dan membina permuafakatan dengan semua pihak yang mempunyai aspirasi sama iaitu menolak rasuah dan kleptokrasi serta membina perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Sikap Pas yang mencipta musuh ini akhirnya memberi tanggapan negatif dan busuk tentang Islam kepada masyarakat awam terutamanya bukan Islam," tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment