Pages

Monday, 6 November 2017

[Video 1000 hari Anwar dipenjara - Anwar Sanggup melaluinya, tak endah kesakitan yang dihadapi] Lebih 200 berarak sempena 1,000 hari Anwar dipenjara.

Selasa, 7 November 2017

Lebih 200 berarak sempena 1,000 hari Anwar dipenjara

Lebih 200 berarak sempena 1,000 hari Anwar dipenjara
Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai perarakan sempena 1,000 hari Anwar dipenjara yang bermula di Parlimen ke Dataran Merdeka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 November, 2017.

LEBIH 200 penyokong bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim berarak dari Parlimen ke Dataran Merdeka memperingati hari ke-1,000 beliau dipenjara di Sungai Buloh.
Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu diketuai oleh ketua pembangkang yang juga isterinya Wan Azizah Wan Ismail dan disertai beberapa pemimpin pembangkang antaranya penasihat DAP Lim Kit Siang, Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad dan beberapa pemimpin parti PKR.
Sepanjang perarakan mereka menjerit slogan “Bebas Anwar” dan “Reformasi”, slogan untuk perubahan yang dilaungkan sejak Anwar dipecat daripada kabinet pada 1998.
Pihak polis mengawal lalu lintas dan membiarkan perarakan berlangsung tanpa sebarang insiden sehingga acara berakhir kira-kira jam 10.30 malam.
Pemimpin-pemimpin pembangkang turut memberi ucapan ringkas di pinggir Dataran Merdeka kerana kawasan padang masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan sambil dipantau oleh sepasukan anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Penyokong Anwar turut membakar 1,000 lilin di tepi Lengkok Raja dan Jalan Raja, sebatang lilin mewakili setiap hari Anwar dipenjara.
Naib Presiden PKR, Tian Chua yang baru menjalani hukuman penjara sebulan pada bulan lalu bertindak sebagai pengacara majlis di atas belakang trak pikap yang dijadikan pentas kecil untuk majlis ringkas itu.
Wan Azizah dalam ucapan ringkasnya mengingatkan penyokong Pakatan Harapan supaya fokus dalam perjuangan menentang Barisan Nasional, di samping mengingati pengorbanan Anwar sepanjang perjuangannya untuk Malaysia yang lebih baik.
“Memang terkesan tetapi dia tak mengeluh ini (walaupun hukuman penjara itu) adalah satu penderaan.
“Tetapi dia sanggup melaluinya untuk membebaskan negara kita. Janganlah kita sia-siakannya,” kata Wan Azizah disambut laungan reformasi oleh peserta perhimpunan.
Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun lalu mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar terhadap kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Menurut pasukan peguam Anwar, bekas timbalan perdana menteri itu boleh dibebaskan seawal Jun tahun ini, selepas menjalani separuh daripada hukuman lima tahun penjaranya, jika dibenarkan oleh pihak penjara.
Penyokong Anwar menubuhkan NGO Adil yang kini berevolusi menjadi PKR, ketua gabungan pembangkang sejak 1999 selepas perseteruan antara beliau dan bekas mentornya Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir kini dilihat sebagai ketua gabungan pembangkang selepas menjadi Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia tahun lalu dan mengetuai gabungan pembangkang baru atas nama Pakatan Harapan. – 6 November, 2017.
The Malaysian Insight

No comments:

Post a Comment