Pages

Wednesday, 8 November 2017

[Video Pakatan Harapan hantar petugas hulur bantuan] Guan Eng hargai bantuan tragedi banjir P. Pinang & Terima kasih JDT mendermakan hadiah wang hasil kemenangan Piala Malaysia kepada mangsa banjir.

Rabu, 8 November 2017

Guan Eng hargai bantuan tragedi banjir P. Pinang


GEORGE TOWN, 8 NOV: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di atas kesudian beliau melawat mangsa banjir di negeri itu.
Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menghargai kesungguhan Najib yang secara serius akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan peruntukan RM1 bilion bagi projek tebatan banjir (PTB) yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia sejak lima tahun lepas.
Berhubung pengumuman Najib berkaitan peruntukan RM150 juta kepada Pulau Pinang, beliau berkata, pengumuman sama telah dibuat oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tunku Jaafar pada 8 November tahun lepas.
Mengulas mengenai perkembangan semasa, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kerajaan negeri kini dalam proses meneruskan kerja-kerja bantuan dan menyelamat bagi memastikan keadaan kembali normal secepatnya.
“Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan agensi lain untuk cuba mengepam air kembali ke sungai apabila paras sungai air telah turun, cuba untuk mencepatkan pengurangan air banjir.
“Kami berharap ini akan membolehkan penduduk untuk kembali ke kediaman mereka dan Kerajaan Negeri hanya boleh memohon kesabaran dan kefahaman pada masa yang sangat mencabar ini,” ujarnya.
Kerajaan negeri juga katanya memandang serius kejadian tanah runtuh yang berlaku disebabkan ribut dan hujan lebat di bahagian pulau, khususnya di kawasan bukit berhampiran Bukit Bendera.
“Kita akan mengambil tindakan segera untuk menangani situasi ini dan berharap orang ramai akan bertindak ke atas panggilan pihak berkuasa untuk berpindah jika dan apabila keadaan memerlukan,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan banjir berkenaan sebagai yang terburuk ekoran tempias Taufan Damrey yang melanda Vietnam pada 4 November lalu ditambah dengan tiga kesan limpahan yang lain.
“Angin kencang yang tidak dijangka selaju 40 kilometer per jam (kmj) yang tidak pernah dilihat sebelum ini di Malaysia sehingga feri Pulau Pinang boleh diangkat dan ditolak ke atas jeti konkrit; serta hujan lebat dan banjir di Kedah.
“Hujan lebat dan banjir di Kedah telah menyebabkan jumlah air yang banyak dicatatkan mengalir ke sungai kita, melimpah ke tebing sungai di sini sebelum mengalir ke laut.
“Ini telah memberikan kesan banjir buruk di daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang berhampiran dengan tebing sungai meskipun tidak ada setitik hujan pun,” katanya.
Setakat ini, katanya, situasi tersebut dapat dipulihkan di negeri ini dengan banyak pusat penempatan banjir telah ditutup dan mangsa banjir kembali ke rumah masing-masing, kecuali daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang terjejas akibat air banjir di Kedah.
“Jumlah mangsa banjir yang disebabkan oleh banjir yang melanda Kedah adalah lebih teruk dan lebih ramai daripada mangsa yang terlibat dengan ribut besar dan hujan pada 4-5 November 2017, dengan 1, 284 keluarga dan 5,102 orang masih berlindung di Pusat Pemindahan Banjir.
“Seramai 821 keluarga dengan 3,381 orang sedang berlindung di daerah Seberang Perai Utara dan 463 keluarga dengan 1,721 orang di daerah Seberang Perai Tengah,” katanya.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengucapkan terima kasih kepada parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan negeri dan pusat atas sumbangan tenaga dan wang ringgit yang dicurahkan bagi meringankan beban mangsa banjir.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada parti-parti politik, NGO seperti Tzu Zhi dan orang awam yang bermurah hati menderma bukan sahaja wang ringgit tetapi masa dan tenaga untuk membantu mangsa terjejas termasuk membantu membersihkan harta benda yang rosak.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada REHDA Pulau Pinang, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Kerajaan negeri Selangor, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, pihak kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan yang telah menyumbang tenaga dan jentera berat seperti lori, jengkaut dan lori sampah roro,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Putera Mahkota Johor, Tungku Ismail Ibrahim yang berbesar hati menitahkan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendermakan hadiah wang hasil kemenangan Piala Malaysia baru-baru ini kepada mangsa banjir di Pulau Pinang. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment