Pages

Monday, 4 December 2017

[Video Adakah akan wujud SENDIKET MENJUAL TANAH FELDA?] 2 doktor calon PM! Tun M PM & Dr. WAN AZIZAH TPM adalah gandingan terbaik untuk SELAMATKAN MALAYSIA.

Isnin, 4 Disember 2017

TUN MAHATHIR PM, DR. WAN AZIZAH TPM ADALAH GANDINGAN TERBAIK UNTUK SELAMATKAN MALAYSIA

Pakatan Harapan akhirnya memutuskan Tun Mahathir Mohamad dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Ketika ini Tun Mahathir adalah Pengerusi Pakatan Harapan, manakala Dr. Wan Azizah pula ialah presiden kepada gabungan empat parti tersebut.

Meskipun PKR dilaporkan masih  menunggu persetujuan Anwar Ibrahim mengenainya sebelum ia kemudian akan disahkan oleh Biro Politiknya, tetapi rasanya tiada masalah bagi Ketua Umum Pakatan Harapan itu untuk menyetujuinya.
Ini kerana dengan Dr. Wan Azizah menjadi calon Timbalan Perdana Menteri, secara simboliknya ialah kedudukan nombor dua itu bakal diisi oleh Anwar Ibrahim sendiri sebaik saja beliau dibebaskan daripada penjara dan diberikan pengampunan Diraja yang membolehkannya bertanding semula dalam pilihanraya.
Kemudian gandingan Tun Mahathir dan Anwar akan kembali menguasai negara dengan agenda  menyelamatkan Malaysia dan memberi kesejahteraan kepada rakyat sebagaimana mereka berdua pernah bergandingan antara 1993-1998 sebelum ini.

Selepas itu, barangkali hanya dalam tempoh setahun atau lebih sedikit dalam mentadbir negara dan memastikan petuang-petualang yang mencuri wang rakyat dihukum dan dipenjara, sudah pastilah Tun Mahathir dengan lapang dada akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar untuk menggantikannya.

Kembalinya gandingan Tun Mahathir dan Anwar inilah yang paling menakutkan Najib sehingga melalui RCI forex yang diwujudkannya itulah, kedua-dua tokoh berkenaan kini berdepan kemungkinan untuk dipenjarakan.
Dilaporkan Tun Mahathir dan Anwar akan disiasat di bawah Seksyen  409 Kanun Keseksaan membabitkan jenayah pecah amanah oleh kakitangan awam yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun, sebat dan denda yang akan ditentukan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, semua rakyat sedar semua itu hanyalah percaturan Najib untuk memberi gambaran buruk terhadap musuh politiknya dan menunjukkan betapa terdesaknya beliau untuk menyelamatkan diri daripada ketakutan terhadap Tun Mahathir dan Anwar.

Hakikatnya, kerugian forex adalah kerugian dalam perniagaan. Ia tidak sama-sekali melibatkan elemen penyamunan, rompakan atau kecurian atau ada wang beribu juta ditemui dalam akaun peribadi sesiapa.
Dalam perniagaan, untung rugi adalah perkara biasa. Jika Perdana Menteri dan Menteri Kewangan boleh dipersalahkan dalam sesuatu kerugian, apakah ia juga bermakna Najib turut boleh didakwa jika ada mana-mana GLC yang mengalami kerugian?

Begitu juga, adakah Menteri Besar boleh didakwa sama kiranya berlaku kerugian anak-anak syarikat kerajaan negeri?

Percaturan Najib mahu mengenakan Tun Mahathir dan Anwar dengan ancaman penyiasatan dan penjara, tidak lebih hanyalah bersifat politik bagi rakyat yang boleh berfikir dan meletakkan otak mereka di tempat yang sewajarnya.
Yang penting, dengan gandingan Tun Mahathir dan Dr. Wan Azizah yang dipersiapkan bakal menggantikan Najib dan Zahid Hamidi selepas PRU 14 akan datang, rakyat tidak lagi sukar membuat pilihan.

Najib, sepertimana orang di Fiji dan Afrika pun banyak tahu mengenai skandal 1MDB yang terkait dengannya, manakala Zahid Hamidi pula tidak kurang hal tidak baiknya, terutama melibatkan kemasukan pekerja asing yang didakwa melibatkan adik-beradik serta pegawai khasnya sendiri, meneruskan hayat mereka memerintah negara ini hanyalah ibarat menempah beban untuk diri sendiri.
Gandingan Tun Mahathir dengan Dr. Wan Azizah dan kemudian bakal diganti dengan Anwar adalah gandingan yang terbaik, bukan saja dalam proses menumbangkan Najib, UMNO dan BN, tetapi juga untuk memulih serta menyelamatkan negara ini.

Tun Mahathir dengan pelbagai rekod kecemerlangan yang tidak perlu diperkatakan dan ketegasannya serta Dr. Wan Azizah yang penuh kesabaran dan ketelitian, mereka inilah yang sangat ditakuti oleh sesiapa juga yang pernah merompak, mencuri dan menyamun harta negara. (ShahbudinHusin 04/12/2017)

No comments:

Post a Comment