UMNO bawa keluar samseng menjelang PRU14
Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), UMNO membawa keluar samseng-samsengnya bagi menggertak sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pendirian parti Melayu itu.
Ia bermula dengan tindakan samseng Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengajak Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji bertumbuk di luar dewan negeri sehingga ke tahap mempersoalkan keimanan beliau.
Semuanya kerana gara-gara hujah Tengku Zulpuri yang juga Timbalan Pengerusi DAP mengenai isu banjir yang tidak dipersetujui Adnan.
Adnan, jika dia waras, perlu sedar bahawa hujah harus dibalas dengan hujah, namun pemimpin UMNO itu lebih gemar mengambil aksi yang diluar kebiasaan masyarakat yang mengamalkan tamadun tinggi serta budi pekerti yang mulia.
Pun begitu, seminggu selepas ancaman itu, Adnan akhirnya memohon maaf atas kelakuannya dan menegaskan bahawa beliau bukanlah seorang gangster seperti yang disangka.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya hari ini sempat memuji sikap Adnan yang memohon maaf kepada Tengku Zulpuri.
Namun, seperti peribahasa Melayu yang berbunyi; “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya” kejadian itu akan terus membekas walaupun Tengku Zulpuri berlapang dada memaafkan Adnan.
Rakyat kini melihat Adnan sebagai seorang samseng, yang lebih rela menggunakan ‘penumbuk’ bagi menyelesaikan pertikaian, mirip apa yang pernah dibuat Samseng Baju Merah.
Ku Nan pula buat hal
Belumpun reda isu ugutan Adnan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula dilaporkan memperlekehkahn pelajar Universiti Teknologi Mara (UITM) dalam majlis Anugerah Nadi Negara 2017 pada Ahad lalu.
Tengku Adnan atau namanya manjanya Ku Nan mendakwa pelajar yang menuntut di universiti yang dibuka khusus untuk kaum Bumiputera itu sebagai ‘slow learner’ atau dalam bahasa Kebangsaannya lembab.
Dia yang berpangkat dan bertaraf menteri itu kemudian mendakwa bahawa kenyataannya itu diputar belit dan menyalahkan pembangkang sehinggalah ada pihak yang mengeluarkan rakaman penuh ucapannya itu.
Apa yang mengejutkan, pemimpin UMNO yang diangkat sebagai paling progresif dan ‘cool’ iaitu Khairy Jamaluddin (atau daddy KJ) mengeluarkan kenyataan mempertahankan tindakan bosnya itu.
Seperti rakan sejawatnya, Ku Nan akhirnya memohon maaf kerana menyedari bahawa temberangnya itu tidak lagi dapat disorok.
Mujurlah Persatuan Alumni UiTM memilih untuk memaafkan Ku Nan seperti mana Tengku Zulpuri memaafkan Adnan. Jika tidak tentu dibalas dengan demo besar-besaran di setiap cawangan UiTM. Eh, yeke?
Najib membisu?
Dalam ribut ancam mengancam, lekeh memperlekeh, ada sosok yang seharusnya berbunyi nampaknya tak berkokok langsung.
Datuk Seri Najib Razak selaku kepala UMNO dan negara seharusnya mengeluarkan kenyataan mengecam perilaku samseng anak-anak buahnya.
Namun, Najib memilih untuk senyap seribu bahasa. Cuci tangan kata orang.
Bukan pelik, artis veteran ditumbuk dalam majlis yang dihadirinya pun dia berdiri diam tanpa berkata apa-apa, seperti membenarkan perbuatan ganas hatta yang berlaku di depan matanya sendiri.
Siapa yang tidak ingat dengan kejadian pelawak, Mat Over yang menumbuk penerbit filem, David Teo kerana didakwa mempersendakan mamanda Najib.
Pemimpin yang waras akan terus bertindak menegur atau meleraikan, tetapi Najib berdiri terkepit-kepit seperti tidak ada apa-apa yang berlaku, merelakan pertelingkahan sesama rakyat berlaku di depan mata.
Di bawah pemerintahan Najib, perilaku ganas dan samseng seolah-olah bakal segar malar untuk beberapa tahun akan datang, itupun jika UMNO-BN terus diberi mandat untuk menentukan hala tuju dan dasar negara.
Sudahlah berbilion duit rakyat disonglap, budaya rasuah berleluasa, kini Najib ingin pula membiarkan budaya samseng mengakar dalam masyarakat di negara ini.
Sudah tiba masanya kita mencabut akar dengan pucuk-pucuknya sekali, dan ditanam dengan benih dan harapan yang baru atau bahasa gangsternya tolak dan tendang BN dalam PRU nanti. – Roketkini
No comments:
Post a Comment