Ahli Amanah diingat jangan hiraukan pihak lawan
Ahli dan pimpinan parti AMANAH negara harus bersabar dengan cercaan dan makian pihak lawan yang kini menggunakan taktik serangan saraf setelah mereka gagal berhujah.
Timbalan ketua AMANAH kawasan Bachok Datuk Ismail Abdul Ghani berkata kemunculan parti itu kini jelas serasi dengan situasi politik Malaysia.
“Sebagai sebuah parti berteraskan Islam yang mengambil pendekatan berbaik-baik dan harmoni dengan semua pihak AMANAH kini menjadi perhatian,” katanya di majlis perasmian tiga cawangan baru di Dun Jelawat, Bachok semalam.
Pada majlis itu, cawangan Kampung Tepus, Lubuk Kuin dan Kampung Dalam Kota telah ditubuhkan.
Timbalan pengerusi AMANAH Kelantan Ustaz Mohamad Hussin dan naibnya Datuk Prof Dr Abdul Halim Yusof turut hadir.
Menurut Ismail, kemunculan AMANAH yang bersifat sederhana dan menekankan penyelesaian masalah memang amat disenangi orang ramai.
“Saya sendiri ketika mula diamanahkan memimpin parti ini merasa amat berat kerana terpaksa berhadapan dengan parti-parti yang telah lama bertapak.
“Setelah bergerak dalam masyarakat, saya merasa amat bersyukur kerana mendapati andaian awal saya itu meleset sama sekali.
“Realitinya orang ramai seperti tertunggu-tunggu sebuah gerakan baharu yang lebih serasi dengan impian dan harapan mereka,”katanya.
Beliau yang juga merupakan bekas ketua jajahan Bachok mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan membantu dalam mengembangkan AMANAH di kawasan itu.
“Nasihat saya kepada semua pendokong supaya bergerak dengan berhemah tanpa provokasi dan melanggar lunas-lunas demokrasi,” katanya.
No comments:
Post a Comment