Sokongan Melayu luar bandar Dr Mahathir lebih kuat berbanding Anwar
Tarikan utama PH pada masa ini ialah Dr Mahathir Mohamad dengan pengundi Melayu luar bandar juga memilihnya, berbanding Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.
TARIKAN utama Pakatan Harapan (PH) pada masa ini ialah Dr Mahathir Mohamad kerana beliau lebih popular dalam kalangan pengundi Melayu terutama dari kawasan luar bandar, berbanding Anwar Ibrahim, kata Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu kepada The Malaysian Insight.
Dr Mahathir ialah perdana menteri paling lama berkhidmat selama 22 tahun sehingga 2003 tetapi pemimpin berusia 93 tahun itu kini mengetuai pakatan pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kukuh di luar bandar.
“Dalam kalangan orang Melayu kampung, saya nampak sokongan kepada Dr Mahathir tu agak tinggi berbanding dengan Anwar semasa mengepalai Pakatan Rakyat.
“(Waktu Anwar) ada sokongan di Pantai Barat, Melayu kelas pertengahan. Dan sekarang ni saya nampak disokong kuat orang kampung.
“Misalnya di Langkawi, di felda. Saya nampak ada nilai tambah selepas Dr Mahathir memimpin," katanya.
Dalam sesi retreat PH di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya awal bulan ini, dicadangkan Dr Mahathir menjadi calon perdana menteri dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun, ia tidak dapat diumumkan kerana terdapat bantahan daripada beberapa pemimpin PKR.
Dr Mahathir berkata pada Selasa, beliau bersedia untuk dinamakan sebagai perdana menteri sekiranya PH “terdesak” dan tidak mempunyai calon lain.
Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata dalam menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri PH, tidak perlu ada istilah “interim” atau sementara.
“Kalau PH boleh terima, tak ada masalah Dr Mahathir untuk jadi calon perdana menteri.
“Tak payah sebutlah sementara, interim, memang dia sementara. Dengan umur dia, keadaan dia. Saya bimbang dengan umur dia, saya doakanlah umur dia masih panjang,” katanya.
Presiden Amanah Mohamad Sabu (tiga dari kiri) berkata kepimpinan Dr Mahathir Mohamad memberikan nilai tambah kepada Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.
Mohamad berkata kontroversi demi kontroversi yang melanda Dr Mahathir tidak menjejaskan kedudukannya sebagai “daya penarik” nombor satu PH.
Katanya, watak Dr Mahathir dari dulu sampai sekarang tidak pernah berubah dan sifat “degil” bekas perdana menteri itu menjadikannya popular.
“Saya lihat ke mana saja dia pergi, terutamanya program ceramah umum dia masih jadi daya penarik nombor satu di Malaysia sekarang,” katanya.
Kehadiran Presiden Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad sentiasa menjadi tarikan utama di majlis ceramah dengan orang ramai datang untuk melihatnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2017.
The Malaysian Insight
No comments:
Post a Comment