Barisan Nasional akan berdepan tentangan sengit pembangkang di Johor, Kedah dan Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata badan tinjauan bebas Merdeka Center. – Gambar EPA, 9 Februari, 2018.
BN berdepan tentangan sengit di 3 negeri dalam PRU14
BARISAN Nasional (BN) akan berdepan tentangan sengit pembangkang di Johor, Kedah dan Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata badan tinjauan bebas Merdeka Center.
Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata ini kerana di ketiga-tiga negeri ini pertembungan tiga penjuru tidak begitu memberikan kelebihan kepada BN.
“Sabah akan menjadi kompetitif disebabkan pertembungan tiga penjuru memberikan kesan berbeza di sana.
“Di Sabah terdapat parti tempatan, parti nasional, gabungan pemerintah, jika terdapat persefahaman antara satu sama lain, PRU14 akan menjadi kompetitif di sana,” kata Ibrahim pada forum bertajuk “GE14: The polls, the meaning, the stakes” di Petaling Jaya malam tadi.
Di Sabah, parti pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS) sedang dalam rundingan untuk bekerjasama bagi melawan BN pada PRU14.
Bulan lalu kajian Merdeka Center mendapati pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan Gagasan Sejahtera pimpinan PAS akan memberikan kelebihan kepada gabungan pemerintah itu.
Ibrahim berkata bagi Johor, secara tradisinya PAS sememangnya lemah di negeri itu dan pertembungan tiga penjuru tidak memberikan banyak kesan kepada PH.
“Johor adalah menarik kerana PAS secara relatifnya lemah di sana.
“Jika kempen dan pembinaan naratif berjaya dilakukan di Johor, ia mungkin akan mengubah keputusan memihak kepada pembangkang, tetapi masa sudah semakin singkat,” katanya.
Johor merupakan negeri kelahiran Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dipecat dari Umno kerana kelantangannya mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ibrahim berkata di Kedah, pengerusi dan calon perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengaruh yang sangat besar.
“Cuma persoalannya apakah pengaruh besar itu akan diterjemahkan kepada undi,” katanya.
Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata Sabah akan menjadi kompetitif disebabkan pertembungan tiga penjuru memberikan kesan berbeza di sana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Februari, 2018.
Kedah merupakan negeri asal Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.
Pada PRU13, BN berjaya merampas semula negeri itu daripada PAS di bawah pimpinan anak Dr Mahathir, Mukhriz yang menjadi menteri besar Kedah selepas itu.
Pada 2016, walaupun Mukhriz merupakan menteri besar Kedah yang popular, beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas Umno negeri tidak lagi menyokongnya kerana mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dalam isu 1MDB.
Ibrahim berkata pada ketika ini, majoriti rakyat sudah membuat keputusan tentang siapakah yang bakal mereka undi pada PRU14.
“Pada pandangan saya berdasarkan data yang kita ada, majoriti pengundi sudah membuat keputusan dan cuma menunggu Parlimen dibubarkan.
“Cuma tinggal sebahagian kecil pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan.
“Tetapi jumlah pengundi yang belum membuat keputusan ini masih kecil berbanding jumlah yang diperlukan sesetengah gabungan untuk memberikan impak yang besar,” katanya. – 9 Februari, 2018.
The Malaysian Insight
No comments:
Post a Comment