Isu air Selangor dapat diselesaikan, bagaimana isu 1MDB?
Ketua Pemuda AMANAH Selangor Abbas Azmi berkata, jawapan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak amat memeranjatkan apabila beliau berkata isu air di Selangor lebih besar daripada isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
Najib mengeluarkan kenyataan tersebut sewaktu pertikaman lidah di parlimen antara beliau dengan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali yang bertanyakan isu hutang negara dan mengaitkan dengan Skandal Mega 1MDB.
Mewakili Pemuda AMANAH Selangor kata Abbas, melihat jawapan Najib tidak memahami soalan Azmin dan mengaitkan Isu air di Selangor sedangkan ia dua perkara yang sangat berbeza.
“Isu air di Selangor pada minggu lepas adalah berpunca dari sistem mampatan air yang rosak dan loji membekal air bersih ini diselenggara oleh pihak Splash.
“Penstrukturan Air yang belum dimuktamadkan kerana karenah birokrasi menyebabkan kerajaan negeri belum berjaya mengambil alih Splash ini.
“Dan perlu diingatkan isu air ini telah selesai dan seramai 500,000 pengguna telahpun menerima air seperti sediakala.
“Di Selangor pengguna mendapat air percuma dan ini banyak membantu rakyat dalam mengurus kehidupan seharian,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, isu 1MDB yang sudah terkenal di dunia akibat salah laku dan berbaur penyelewengan dana awam. Sehingga kini isu ini tidak boleh dibahaskan di parlimen walaupun skandal ini melibatkan berbillion ringgit dana awam.
Katanya, hari ini rakyat sangat terkesan dengan isu kenaikan harga barang, penarikan subsidi minyak dan GST. Semua ini berlaku serentak dengan dengan skandal mega 1MDB.
“Kutipan hasil sama ada GST, penarikan subsidi minyak masak dan minyak petrol sepatutnya menjadikan negara dan rakyat lebih terbela.
“Tetapi sebaliknya kuasa beli yang ada pada rakyat semakin mengecil. Dan harus diingat permasalahan rakyat hari ini belum nampak jalan penyelesaiannya,” katanya.
Katanya lagi, mengaitkan isu air di Selangor dan Isu 1MDB ini sangat tidak kena dan tidak ada kaitan bahkan isu air ini telah pun selesai manakala isu skandal mega 1MDB ini masih belum selesai.
Justeru tambahnya, jika Najib menganggap dengan hujah air ini dapat memalukan Azmin sebagai Menteri Besar (MB) Selangor ia adalah silap bahkan rakyat akan tertawa dengan hujahan balas Najib itu.
“Kenyataan DS Najib yang mengatakan berhutang itu tidak mengapa yang penting boleh dibayar juga satu kenyataan yang dangkal.
“Benarlah kenapa kerajaan BN hari ini tidak mahu memberi pendidikan percuma kerana Kerajaan BN hari ini berminat untuk menjadikan rakyat suka berhutang walaupun kepada anak anak yang sedang menuntut di IPT.
“Nyatalah Kerajaan BN hari ini tidak mementingkan kebajikan rakyat bahkan menjadikan skandal mega 1mdb yang masyhur di seantero dunia sebagai satu perkara yang enteng walaupun ia melibatkan dana awam,” ujarnya.
Isu air katanya, hanyalah mainan politik bagi menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan Negeri Selangor walaupun isu itu hanya memakan masa tidak sampai satu minggu dapat diselesaikan.
Sedangkan kata beliau, pada masa sama didapati banyak tempat dan negeri-negeri yang masih tidak mendapat bekalan air bersih bahkan di pahang pun masih ada tempat yang tidak mendapat bekalan air yang sempurna.
“Rakyat tidak ada pilihan kecuali memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) akan datang.
“Dengan menukar kerajaan nanti saya berkeyakinan kebajikan rakyat lebih terbela dan segala kemusnahan yang telah dilakukan Umno-BN dapat kita pulihkan,” katanya.
MD.
No comments:
Post a Comment