Kapten Equanimity suspek DoJ, kata laporan
Wall Street Journal melaporkan kapten Equanimity yang dikehendaki DoJ dinamakan sebagai suspek kerana cuba menyembunyikan aset yang dikehendaki untuk dirampas dan cuba mengelak dari dikesan. – Gambar AFP, 2 Mac, 2018.
KAPTEN kapal layar mewah Equanimity kini menjadi suspek dalam siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) terhadap penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas dia mematikan sistem pengenalan automatik kapal itu dari dikesan, lapor Wall Street Journal.
Akhbar itu melaporkan bahawa pihak berkuasa AS dan Indonesia menamakan kapten warga Afrika Selatan, Rolf Sieboldt-Berry sebagai suspek kerana cuba menyembunyikan aset yang dikehendaki untuk dirampas dan cuba mengelak dari dikesan.
Pada 28 Februari lalu, Indonesia merampas Equanimity di Bali dan pegawai FBI serta pihak berkuasa Indonesia telah dilihat menaiki kapal layar itu untuk menyiasat kes penipuan yang dikemukakan DoJ terhadap lebih AS$4.5 bilion yang didakwa diseleweng dari 1MDB.
Equanimity yang berharga AS$250 juta itu dikatakan dibeli oleh ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low, yang juga sekutu Perdana Menteri Najib Razak dan turut dikatakan telah membuat keputusan penting 1MDB di awal penubuhannya.
Sieboldt-Berry dikatakan telah mematikan sistem pengenalan Equanimity di sekitar Singapura dan Filipina. Tetapi, menurut WSJ, peguam kapten terbabit, Rando Purba memberitahu polis yang distem itu dimatikan hanya sekali bagi mengelak lanun.
DoJ telah mengesan kapal layar itu serta aset-aset mewah lain dalam saman rampasan sivil terhadap aset bernilai hanpir AS$2 bilion yang didakwa dibeli dengan wang 1MDB.
Low masih tidak diketahui keberadaannya tetapi jurucakapnya menyifatkan DoJ telah "melampau batas berdasarkan dakwaan tanpa bukti salah laku".
Peguam Negara Malaysia pula berkata kerajaan tidak akan menuntut Equanimity itu kerana ia bukan milik kerajaan. Manakala, seorang menteri Kabinet berkata DoJ tidak pernah membuktikan Low memiliki kapal layar itu. – 2 Mac, 2018.
The Malaysian Insight.
No comments:
Post a Comment