Pages

Monday, 4 June 2018

[Video Utamakan rumah PPR untuk rakyat Malaysia - Menteri] Kalau kahwin pun, tiga, empat hari saja kekok.

Isnin, 4 Jun 2018

Kalau kahwin pun, tiga, empat hari saja kekok

Mohamad Sabu mengakui kekekokan apabila pertama kali menjalankan tugasnya sebagai menteri pertahanan.
Namun, selepas dua minggu mengangkat sumpah jawatannya, Mohamad atau mesra dengan panggilan  Mat Sabu menyifatkan beliau semakin boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran baru.
Menurutnya, dia selesa dengan tanggungjawab yang digalasnya dan berikrar akan terus bekerja keras untuk negara.
"Sudah boleh. Kita kalau kahwin pun, tiga hari atau empat hari sahaja kekok," katanya sambil menambah beliau senang dengan kakitangan kementerian itu yang memberi sambutan baik terhadapnya.
"Tak terima kritikan atau ada kata-kata orang yang tak suka saya jadi menteri pertahanan. Saya tak dengar, tapi saya dengar beberapa pujian.
"Saya juga tiada tekanan dalam bekerja (sebagai menteri baru), saya gembira dengan kakitangan dan semua kerja, dalam gelak tawa itu cara saya supaya tak tertekan.
"Sepatutnya pada 60 umur kita dah layak untuk bersara, tapi ini sebaliknya pula yang mana kita baru nak mula kerja secara berjadual,” katanya.
Bagaimanapun tambahnya, itu bukan alasan untuk beliau mengeluh.
“Kita tak boleh mengaku letih sebab Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 93 tahun," katanya dalam wawancara bersama berapa agensi media tempatan di Wisma Pertahanan, di Kuala Lumpur hari ini.
Suka menjala ikan
Ditanya rahsia kekuatan beliau untuk terus menerajui kementerian berkenaan, Mohammad secara berseloroh mengatakan kekuatan itu terletak pada namanya.
"Kalau kekuatan Hang Tuah terletak pada huruf (jawi) 'ta' kekuatan saya terletak pada (nama) Mat Sabu," katanya diiringi ketawa.
Ketika diminta mengulas hobinya ketika ini, Mohamad berkata beliau tidak suka bermain golf.
Sebaliknya, beliau lebih gemar menjala ikan dan memasak hasil tangkapannya.
"Saya tak main golf tapi saya suka menjala ikan, dan akan memasak ikan yang saya jala.
"Sebahagian ikan yang diperolehi itu saya akan buat pekasam untuk beri kepada kawan-kawan," katanya yang turut menambah hobinya itu bagaimanapun agak sukar untuk lakukan ketika ini kerana kekangan masa.
Mohamad turut merendah diri apabila bercerita berhubung kebolehannya memasak yang sebelum ini tular di media sosial.
"Gambar yang tular saya memasak di media sosial itu cuma sedikit sahaja saya masak, cuma media yang terlebih melapor.
"Tapi bagi saya antara kesukaan masakan saya ialah nasi daging ala saya dan kari kambing atau ikan," katanya yang kini juga merupakan anggota parlimen Kota Raja.
Mohamad yang merupakan presiden AMANAH antara salah seorang daripada 13 yang mengangkat sumpah sebagai menteri kabinet 21 Mei lalu.
Pelantikan Mohamad itu dibuat susulan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan pertukaran kerajaan persekutuan. 
Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment