Di mana Ustazah Nur Farhana?
USTAZAH di Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau dikhuatiri hilang selepas tidak hadir mengajar ke sekolah itu sedangkan keretanya berada di luar kawasan sekolah sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan AA Anbalagan berkata, kehilangan Nur Farhana Ibrahim, 27, disedari suaminya selepas ustazah itu tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Kedah petang kelmarin seperti kebiasaan.
“Menurut suaminya, pada pagi Isnin dia menghantar isterinya ke Plaza Tol Alor Setar Utara jam 4.30 pagi untuk menumpang rakan ustazah itu ke Sungai Dua, Butterworth bagi mengambil kereta Perodua Axianya sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah di Balik Pulau.
“Pada jam 4.30 petang, suami mangsa yang juga peniaga menghubungi telefon bimbit isterinya namun tidak berjawab.
“Apabila lelaki itu pulang ke rumah dia dapati telefon bimbit isterinya berada dalam bilik tidur dipercayai tertinggal,” katanya hari ini.
Menurutnya, suami mangsa yang berusia 30 tahun itu menghubungi rakan isterinya untuk bertanya mengenai wanita itu namun mereka tidak tahu malah memaklumkan kereta isterinya berada di luar kawasan pagar sekolah.
Anbalagan berkata, lelaki itu ke sekolah isterinya semalam dan menurut guru besar ustazah itu hadir ke sekolah mengajar seperti biasa pada Isnin namun tidak datang ke sekolah semalam.
Katanya, suami mangsa berusaha mencari isterinya di kawasan sekitar sekolah dan berhampiran namun tidak menemui wanita itu.
“Beg duit, kunci kereta serta alatan menulis milik ustazah itu berada di atas meja bilik guru sekolah.
“Polis dengan bantuan orang ramai melancarkan operasi mencari wanita itu namun sehingga kini masih gagal ditemui,” katanya.
Beliau berkata, polis turut menggunakan perkhidmatan Unit Anjing Pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengesan ustazah berkenaan dan setakat ini belum menemui sebarang petunjuk.
Katanya, menurut suami mangsa, isterinya pernah menerima rawatan kemurungan pada 2014 dan ustazah itu dipercayai mengalami kemurungan berikutan berulang alik setiap hari dari Langgar ke Balik Pulau untuk mengajar di sekolah itu.
Jarak sehala kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah itu sudah banyak kali memohon untuk berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya.
“Lelaki itu juga mendakwa dia dan isterinya tidak mengalami masalah rumah tangga dan mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.
“Saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.
No comments:
Post a Comment