Serangan masjid di New Zealand: 40 terbunuh, beberapa lagi cedera
Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh dalam insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, lapor agensi berita Xinhua memetik Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pada Jumaat.
Dilaporkan sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di dua masjid di Christchurch. Saksi menyifatkan terdapat banyak darah dan beberapa kematian.
Difahamkan bahawa insiden tembakan itu berlaku di sekurang-kurangnya enam lokasi berbeza.
Menurut laporan, seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam Masjid Al Noor yang penuh dengan jemaah di pusat bandar Christchurch semasa waktu solat Jumaat.
Pasukan kriket Bangladesh hampir memasuki masjid itu ketika insiden tembakan berlaku, jadi mereka berjaya menyelamatkan diri.
Media tempatan turut melaporkan satu lagi insiden tembakan berlaku di sebuah masjid di pinggir bandar Christchurch.
Pasukan polis bersenjata telah dikerah menjaga lokasi terbbait dan memburu penembak.
Mereka menggesa penduduk setempat agar berada di dalam rumah. Sekolah tempatan turut ditutup.
"Polis bertindak balas dengan segala keupayaannya bagi menangani situasi ini, namu risiko persekitaran kekal tinggi," menurut polis dalam satu kenyataan.
Polis berkata mereka telah menahan seorang suspek dan masih memburu yang lain.
Perdana Menteri Jacinda Ardern bercakap kepada orang ramai pada pukul 4 petang waktu tempatan.
Beliau berkata "ini adalah antara momen paling gelap dalam sejarah New Zealand. Ingatan dan doa saya bersama Christchurch."
"Ia adalah satu keganasan yang tidak pernah berlaku di New Zealand. Tiada tempat untuk keganasan melampau seperti itu di New Zealand," kata Ardern.
Konsul Jeneral China di Christchurch Wang Zhijian memaklumkan Xinhua bahawa respons kecemasan telah diaktifkan.
Pejabat Konsulat Jeneral kini bekerjasama dengan polis tempatan untuk memeriksa sama ada terdapat rakyat China yang menjadi mangsa dalam insiden tembakan itu.
Sementara itu, awal hari ini AFP melaporkan beberapa orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera apabila seorang penembak melepaskan tembakan rambang di sebuah masjid yang penuh sesak menjelang solat Jumaat di bandar Christchurch, New Zealand hari ini.
Agensi itu yang memetik media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya enam terbunuh dan bandar di Pulau Selatan itu kini ditutup kepada orang ramai.
Pesuruhjaya polis New Zealand, Mike Bush menggesa orang ramai agar tidak mengunjungi mana-mana masjid hari ini.
“Saya mengarahkan agar sesiapa yang berfikir untuk pergi ke masjid malam ni, agar membatalkan niat anda, tutup pintu rumah anda sehingga kami benarkan,” kata Bush yang dipetik oleh New Zealand Herald.
Polis New Zealand juga dikerah menutup bandar Christchurch susulan insiden tembakan berkenaan.
“Polis bertindak balas menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk mengawal keadaan, namun risikonya masih terlalu tinggi kerana kami percaya ada penembak yang masih bebas,” kata polis dalam satu kenyataan.
Serangan dilaporkan berlaku di dua lokasi berbeza.
Media tempatan melaporkan polis berjaya memindahkan mangsa yang terperangkap di satu lagi lokasi.
Difahamkan, Masjid Al Noor salah satu lokasi kejadian, sesak dengan jemaah yang datang untuk solat Jumaat, termasuk pasukan kriket Bangladesh.
Akhbar The Guardian memetik Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai berkata serangan bersenjata hari ini sebagai ‘hari gelap kepada New Zealand’.
Menurut Ardern, kejadian itu adalah sesuatu yang luar biasa, mengejutkan dan di luar jangkaan.
“Mangsa-mangsa ini memilih New Zealand sebagai rumah mereka, jadi mereka adalah sebahagian daripada kita,” katanya.
Malaysiakini.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment