KISAH LEGEND KARTUNIS UJANG TEMPAH BATU NISAN UNTUK KEMATIAN
IBRAHIM Anon, 46, pemilik nama kartunis Ujang, pernah mengalami pengalaman perit apabila karya atau lukisannya dipatenkan oleh pemilik sebuah syarikat awal 1990an sebagai harta inteleknya.
Kisah seperti Aku Budak Minang, Usop Sontorian dan pelbagai watak pernah menghiasi majalah humor sehingga mengangkat popularitinya tetapi syarikat berkenaan menerusi peguamnya terlebih dulu menghantar notis bahawa mereka adalah pemilik Majalah Ujang.
Walaupun sudah turun naik mahkamah dan kesnya bertukar tangan daripada seorang peguam kepada peguam yang lain bagi menghalang syarikat berkenaan, segalanya sudah terlambat.
Menurut undang-undang, dia tidak dibenarkan mengambil manamana bahagian dalam majalah itu dicetak semula dalam sebarang bentuk sama ada cetakan, penukaran, penyamaran, edaran, penyerahan atau mempamerkan dalam media cetak, digital dan pelbagai lagi tanpa kelulusan.
“Bayangkan, saya langsung tidak boleh melukis kartun yang pernah saya hasilkan menerusi watak ciptaan saya dalam sebuah majalah, sampaikan kalau lukis gambar pokok pun, saya dikenakan tindakan undang-undang."
“Cubaan mempertahankan hak saya dengan turun naik mahkamah membuatkan segala penerbitan saya terpaksa gulung tikar. Saya dihujani surat dan arahan mahkamah agar segala majalah keluaran saya ditarik balik di pasaran. Hutang dengan syarikat percetakan dan gaji kakitangan semuanya bernilai RM1.8 juta. Akhirnya mahkamah mengisytiharkan saya muflis."
“Bayangkan, saya terduduk dan rasa seakan-akan kehidupan ini direnggut sekali gus rumah tangga saya juga hampir musnah dan memaksa saya lari ke kampung untuk mencari ketenangan. Saya hampir gila dan pernah menempah batu nisan sendiri semata-mata persiapan untuk ‘kematian’ sendiri,” katanya.
Demi menghilangkan tekanan perasaan, dia pulang ke kampungnya di Kuala Pilah tanpa melakukan sebarang kerja kerana buntu memikirkan apa yang berlaku serta fikirannya menjadi kosong.
“Saya berkelana dan wang ringgit memang langsung tiada, sebaliknya hanya berharap ihsan orang ramai. Apabila pulang ke rumah semula, suatu hari emak menegur dan memarahi saya kerana mengerjakan solat dan berulang-ulang hinggakan 14 rakaat. Sebenarnya, ketika itu saya sudah tidak tahu apa yang berlaku seolah-olah dalam dunia yang amat asing,” katanya.
Hampir lapan bulan menyepi diri dan langsung tidak menghiraukan isterinya, Zaiha Abdul Rahman dan empat cahaya mata, ibunya paling banyak memberi kekuatan semangat kepadanya agar bekerja keras demi masa depan dia sekeluarga.
Ujang mengakui yang dia pernah mengusung guni mengandungi gelang untuk dijual dengan harga RM2 semata-mata mencari sesuap nasi. Bahkan, dia pernah melukis potret di kaki lima di sebuah pekan dan menjualnya kepada orang ramai untuk mencari sesuap nasi.
“Bayangkan ketika zaman kegemilangan, saya pernah memperoleh pendapatan RM50,000 sebulan tetapi di zaman kejatuhan, dengan hasil jualan lukisan potret berharga RM10, saya mampu menampung hidup saya untuk dua, tiga hari. Bayangkan ketika melukis potret atau inspirasi daripada kartun saya dan mengabadikan dalam kad ucapan Hari Raya, tiba-tiba saya didatangi surat saman.
“Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, saya sekali lagi tertekan apabila ibu meninggal dunia tiga tahun lalu. Namun segala nasihat dan doanya menjadi ubat paling mujarab buat saya meneruskan kelangsungan hidup ini,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik ini bercerita mengenai arwah ibu tercinta, Ramlah Omar.
Sebagai insan cekal, dia kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu bekas majikannya, pemilik syarikat Creative Enterprise iaitu Jaafar Taib untuk kembali bertugas di syarikat berkenaan.
Namun katanya, selepas itu tidak putus-putus rezeki datang menggolek dan mendapat tawaran menghasilkan kartun untuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Kini, dia bersama syarikat Century Vantage Sdn Bhd yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor menerbitkan majalah komik animasi yang menjurus kepada bacaan untuk semua golongan dan dikenali ‘Animaxi’.
“Apa yang penting dalam hidup, kita harus berfikiran positif. Walaupun diuji dengan pelbagai dugaan namun saya tidak pernah berputus asa bahkan kekuatan saya adalah sifat dalaman yang dimiliki diri ini. Saya sudah menempuh pelbagai halangan besar dan reda dengan ketentuan
takdir,” katanya.
Sumber
No comments:
Post a Comment