Logo Umno terpampang di bangunan DBKL
Logo Umno dikesan terpampang di bangunan ibu pejabat Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) setinggi 34 tingkat di ibu negara hari ini.
Berdasarkan rakaman video orang awam yang dikongsi bersama Malaysiakini, logo itu dipamer melalui pancaran laser, bersama gambar bendera Malaysia dan imej mirip logo rasmi sambutan itu.
Malaysiakini.
Surat yang tular di media sosial berhubung kerahan pelajar UiTM menyertai sambutan hari Umno di Stadium Bukit Jalil
Peralat pelajar universiti untuk sambutan Umno tindakan jijik
Tindakan pihak pengurusan UiTM memperalatkan para pelajar universiti tersebut bagi sambutan Hari Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil dikecam Armada dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ketua Armada Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui menerima lebih 300 laporan bahawa mahasiswa telah dipaksa untuk menghadiri sambutan 71 tahun Umno.
"Berdasarkan pelbagai maklumat dan laporan yang dimaklumkan terus kepada kami, puluhan ribu mahasiswa dari IPTA seluruh negara telah dikerah untuk menghadiri program itu tanpa kerelaan.
"Armada mengecam tindakan menjengkelkan ini kerana bukan sahaja ianya tanpa kerelaan mahasiswa, malah dikhabarkan ada yang diugut untuk diambil tindakan tatatertib ataupun disahkan tidak hadir ke kelas setelah arahan 'pemaksaan' untuk wajib hadir dikeluarkan sendiri melalui pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) IPTA-IPTA di seluruh Malaysia ibaratnya program Umno ini adalah program wajib di bawah universiti," tegas beliau.
Syed Sadiq juga mendapat maklumat kelas pengajian pelajar terpaksa ditangguh malah ada beberapa universiti yang sedang dalam musim peperiksaan turut diganggu bagi mengerah pelajar ke program Umno dengan kelas atau peperiksaan digantikan kepada suatu masa yang lain.
"Bagi IPTA luar dari Kuala Lumpur dan sekitar, mereka terpaksa hadir awal, sebagai contoh rungutan mahasiswa dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terpaksa hadir sehari awal sebagai persediaan dan meninggalkan kelas serta menginap di salah sebuah UiTM di sekitar Selangor," katanya.
Beliau turut mendapat maklumat bahawa para plajar turut diberikan wang untuk hadir dan berdepan ugutan sekiranya mengelak untuk turut serta.
Malah para pelajar terbabit, kata Syed Sadiq dipaksa menghafal lagu 'Sayangi Najib' kononnya tanda sokongan penuh mereka yang hadir ke Stadium Bukit Jalil.
Mengulas isu yang sama, Timbalan Ketua AMK Dr Afif Bahardin mengakui menerima mesej WhatsApp daripada seorang warga kerja UiTM bahawa satu usaha tersusun telah dijalankan bagi memanipulasi dan memobilisasi mahasiswa UiTM Shah Alam ke Stadium Bukit Jalil.
"Pastinya kami berasa sangat dukacita dan mengecam sikap Umno yang bukan sahaja telah memanipulasi mahasiswa tetapi pada masa sama telah mengaburi mahasiswa dengan memperdaya mereka untuk hadir ke satu program kesukarelawan, walhal sebenarnya dipergunakan untuk memenuhkan stadium bagi sambutan hari ulang tahun Umno," kesalnya.
Beliau turut menuntut Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr. Hassan Said untuk menjelaskan mengapakah pelajar universiti itu dipaksa hadir ke program politik dengan surat pengecualian kuliah sedangkan hadir ke kuliah adalah satu tanggung jawab hakiki pelajar.
Dr Afif juga ingin tahu jumlah dana yang telah diperuntukkan untuk melakukan kerahan ini termasuk kos pengangkutan, makanan, pakaian dan cetakan sijil.
"Apakah semua dana yang dikeluarkan untuk program dan kerahan seperti ini adakah menggunakan dana Umno atau dana UiTM?" soal beliau.
Ribuan pelajar UiTM dikerah ke Sambutan Hari Umno
UiTM mengerahkan ribuan pelajarnya bagi menghadiri program sambutan 71 tahun Umno di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijadual berlangsung petang ini.
Dalam surat yang tular disebarkan di media sosial, Timbalan Naib Canselor (HEP) UiTM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said memohon Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UiTM Prof Sr Ir Dr Suhaimi Abd Talib agar mengecualikan kuliah para pelajar pada 10 dan 11 Mei 2017.
Ini katanya, bagi membolehkan para pelajar terbabit terlibat dalam penganjuran bersama 'agensi luar' untuk 'Program Kesukarelawanan UiTM' di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dr Abdullah juga memohon pengecualian kuliah pelajar yang terlibat dalam program itu mulai 8 Mei hingga 11 Mei 2017.
Umno menganjurkan Sambutan Hari Umno hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 6.30 petang hingga tengah malam.
Para pelajar terbabit diminta berkumpul pada jam 10 pagi di padang kawad UiTM untuk menaiki bas bernombor 01 hingga 70.
Bagi anggota badan uniform pelajar semester satu, mereka diarah berkumpul pada jam 2 petang di padang kawad UiTM untuk menaiki bas bernombor 41 hingga 110.
Para pelajar terbabit disyarat memakai pakaian sukan dan berkasut serta digalakkan membawa tuala kecil.
Makan dan minum untuk mereka disediakan beserta surat pengecualian kuliah, kupon aktiviti dan sijil sukarelawan.
No comments:
Post a Comment