Umno tipu pelajar hadiri sambutan ulang tahun?
Pemuda PKR menuduh Umno menggerakkan mahasiswa dari sebuah universiti awam untuk turun ke Stadium Bukit Jalil di Kuala Lumpur malam ini, sempena ulang tahun ke-71 parti itu.
Naib Ketua Pemuda PKR Afif Bahardin berkata, beliau menerima mesej WhatsApp daripada pelajar universiti, yang terletak di Shah Alam itu.
"Terdapat usaha bersepadu untuk memanipulasi dan menggerakkan pelajar untuk menghadiri acara di Bukit Jalil itu.
"Kami mengesyaki bahawa program itu membabitkan sambutan ulang tahun ke-71 Umno," kata exco Pulau Pinang itu pada sidang media di Seberang Jaya.
Afif juga mengemukakan salinan mesej WhatsApp semasa sidang akhbar itu.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menafikan dakwaan tersebut, dengan berkata sambutan malam ini adalah "terbuka" kepada sesiapa yang berminat untuk hadir.
"Acara malam ini adalah terbuka. Sesiapa sahaja boleh datang. Ia adalah satu karnival terbuka. Tiada arahan [daripada UiTM] dan tidak ada masalah.
"Jika UiTM mahu sertai, tidak ada masalah," katanya yang dipetik oleh sebuah portal.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama universiti itu sementara menunggu maklum balas daripada pihak pentadbirannya .
Afif juga menuduh Umno "menipu" pelajar-pelajar bagi menghadiri majlis berkenaan, yang menurut mesej Whatsapp, digambarkan sebagai "Program Sukarelawan Patriotisme".
"Para pelajar sebenarnya digunakan untuk memenuhkan stadium," katanya.
Ketua Pemuda PKR itu juga mahu pihak pengurusan universiti untuk menjelaskan mengapa pelajar didakwa diberikan kelulusan untuk menghadiri program berkenaan dan bukannya menghadiri kuliah.
"Menghadiri kuliah adalah tugas utama seorang pelajar universiti," katanya, sambil menuntut untuk tahu jumlah peruntukan yang diperuntukan untuk "mengerakkan" pelajar tersebut.
Afif juga ingin tahu sama ada belanja membekalkan pelajar dengan pengangkutan, makanan, t-shirt dan sijil, seperti yang dijanjikan dalam mesej WhatsApp itu, adalah dibayar oleh Umno atau universiti yang terlibat.
Langgar intergriti
Turut menyatakan kekecewaan dengan universiti awam itu adalah Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Leong Yu Sheng.
Sambil menyatakan kekecewaan terhadap naib canselor universiti kerana melanggar integriti dan etika akademik, katanya, institusi pengajian tinggi adalah tempat yang memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk menuntut ilmu dan kebenaran.
“Tindakan ini yang mengadaikan masa pembelajaran mahasiswa dan menjadikan mahasiswa sebagai alat mainan di sambutan Umno amat memalukan.
“Demi menyembunyikan fakta bahawa Umno kehilangan sokongan anak muda, pihak universiti terdesak untuk melibatkan mahasiswanya sebagai peserta,” katanya dalam satu kenyataan.
Yu berkata, memaksa mahasiswa terbabit dalam aktiviti politik oleh pihak universiti harus dipandang serius oleh masyarakat dan ahli akademik.
Pengunjung ke acara hari ini berpeluang membawa pulang hadiah cabutan bertuah termasuk kereta yang semuanya berjumlah hampir RM1 juta, khas untuk mereka yang bertuah dan sudah pun mendaftarkan diri melalui aplikasi Malaysia 4 All.
Acara kemuncak bagi sambutan itu adalah amanat daripada presiden Umno, yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang hala tuju parti, terutamanya dalam menghadapi cabaran pilihan raya umum akan datang.
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment