Kenyataan Media
TERJEMAHKAN KEUTUHAN PAKATAN HARAPAN, AMANAH SIAP BERJUANG DI P.093 & P.067
Perbincangan kerusi sesama Pakatan Harapan (AMANAH, DAP, KEADILAN) untuk Parlimen Sungai Besar (P.093) dan Parlimen Kuala Kangsar (P.067) merupakan detik paling kritikal untuk rakyat meyakini gabungan alternatif yang kuat dan mampu menggantikan Barisan Nasional serta melakukan reformasi menyeluruh terhadap urustadbir negara. Suka atau tidak, pertindanan kerusi sesama Pakatan Harapan di Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak beberapa minggu yang lalu perlu kekal menjadi sejarah hitam dan tidak diulang oleh mana-mana parti dalam koalisi ini.
Di sisi yang lain, Pakatan Harapan menghormati kerjasama yang dibuat oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama IKATAN dan 'ratusan' NGO-NGO lain yang membentuk Blok Ketiga. Dengan niat yang berterus-terang, kita meraikan apabila Blok Ketiga yang dipimpin PAS akan dan masih kekal berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan yang memerintah. Sungguhpun agak merumitkan, namun harus diterima umum bahawa PAS dan rakan-rakan koalisinya telah nekad untuk bertanding di mana sahaja kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan. Bahkan senario tersebut telah pun berlaku dalam PRN Sarawak yang lepas.
Lantas kemungkinan berlakunya pertandingan 3 penjuru antara PAS / Blok Ketiga, AMANAH / Pakatan Harapan dan UMNO / Barisan Nasional di P.093 dan P.067 hakikatnya merupakan suatu pertembungan yang bakal menguji dan menjadi kayu ukur gabungan politik mana yang lebih dipercayai rakyat. Bahkan rakyat umumnya telah sedia memaklumi bahawa PAS bukan sebahagian Pakatan Harapan dan jika berlaku 3 penjuru pun, anak muda khususnya boleh 'membaca' bahawa PAS bertindak sebagai entiti berasingan yang masuk bertanding demi kepentingan politik Blok Ketiga.
Maka penting untuk seluruh pimpinan Pakatan Harapan jujur berusaha mengangkat keutuhan gabungan ini. Rakyat tidak bodoh. Sukar untuk mereka menerima pemimpin yang telah mengecewakan majoriti rakyat dengan tindakan melulu membenarkan pertandingan sesama Pakatan Harapan dalam PRN Sarawak yang lalu, kini 'berlakon suci' pula kononnya mahu mengelakkan pertandingan 3 penjuru dengan PAS / Blok Ketiga. Apakah mesej politik yang mahu dihantar pemimpin ini sebenarnya? Terus mahu mengucar-kacirkan Pakatan Harapan atau apa?
Justeru Pemuda AMANAH berpendirian bahawa AMANAH perlu bertanding mewakili Pakatan Harapan di kedua-dua parlimen tersebut atas 4 faktor:
1. AMANAH telah benar-benar bersedia untuk menguji kekuatan parti baru ini di Malaysia Barat setelah menguji kekuatan jentera di Malaysia Timur (Sarawak) dengan meraih undi popular sebanyak 1.24% dengan umur penubuhan selama 8 bulan. Peratusan undi popular dengan umur penubuhan parti yang masih baru boleh diakui lebih baik dan jauh meninggalkan parti-parti tempatan sendiri seperti STAR dan PBDSB.
2. P.093 dan P.067 merupakan kawasan strategik bagi AMANAH sebagai parti Islam dalam Pakatan Harapan. Komposisi campuran penduduk dengan majoriti Melayu Islam sememangnya menjadi gelanggang ideal buat AMANAH meluaskan pengaruh Pakatan Harapan di kedua-dua parlimen tersebut.
3. Sentimen anti-Najib yang semakin meluas di kalangan rakyat memerlukan Pakatan Harapan meletakkan calon yang tegas menolak Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Penting untuk Pakatan Harapan mengambil kira ketegasan prinsip untuk menolak Najib Razak dan pada masa yang sama tidak memberi ruang calon-calon yang 'mesra' Najib Razak bertanding secara solo.
4. Meyakini bahawa YAB Dato' Seri Azmin Ali selaku Dato' Menteri Besar Selangor dengan jiwa besar beliau sedia membantu AMANAH untuk menang di P.093. Beberapa pimpinan KEADILAN telah pun turun bermesyuarat dengan jentera tempatan dan kita percaya KEADILAN akan menggerakkan jentera untuk membantu AMANAH di kawasan tersebut.
"Harapan Baru"
SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
Ketua Pemuda AMANAH Nasional
13 Mei 2016
No comments:
Post a Comment