Apabila PAS membawa slogan dan konsep negara Islam, UMNO menolaknya. Apabila PAS membawa undang-undang hudud di Kelantan dan Terengganu, UMNO turut menolaknya.
Walau pun ia tidak bererti semua rakyat Malaysia pelbagai kaum setuju dengan tindakan PAS, ia membuktikan UMNO menolak apa yang PAS perjuangkan selama ini.
Buktinya ialah apabila PAS membawakan negara berkebajikan yang selaras dengan konsep negara Islam bersifat universal, UMNO masih menolaknya.
Apabila PAS mendapat saf pimpinan baru yang seimbang baru-baru ini – ulama, profesional, akademik, aktivis dan birokrat – UMNO tetap menolaknya, walau pun ia tidak ada kena-mengena dengan parti itu kerana ia adalah hal dalaman PAS.
Selepas keputusan pemilihan kepimpinan di muktamar PAS ke-57 diumumkan hujung minggu lalu, UMNO mencipta bermacam-macam alasan dan konspirasi.
Yang jelas dalam propaganda UMNO, tidak ada orang PAS yang menang dalam pemilihan PAS.
Bagi UMNO, yang menang dalam pemilihan PAS adalah DAP, PKR, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Reçep Tayyip Erdogan dan entah siapa lagi.
Semuanya gara-gara UMNO gagal dalam kempen mereka yang mahu apa yang mereka takrifkan sebagai golongan ulama menjadi presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan ahli jawatankuasa pusat PAS.
Hingga mereka lupa bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat juga adalah ulama.
UMNO juga lupa bahawa pimpinan Dewan Ulama PAS semuanya menang tanpa bertanding; maksudnya semua mereka adalah para pemimpin ulama yang “disokong” oleh UMNO melalui lidah rasminya Utusan Malaysia.
UMNO turut lupa bahawa Dewan Pemuda PAS juga dipimpin oleh wakil yang dilihat setia dengan golongan ulama.
Bagi UMNO, semua itu tidak penting kerana kempen Utusan dan UMNO untuk menjadikan ulama pilihan mereka sebagai presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden dan AJK pusat PAS telah gagal.
Yang pelik ialah mengapa UMNO yang menolak Negara Islam ala PAS, yang menolak hudud ala PAS, yang menolak apa sahaja yang PAS perjuangkan selama ini, begitu kemaruk mahu melihat PAS diterajui oleh golongan ulama?
Persoalan yang belum dijawab oleh UMNO sehingga kini ialah:
Adakah UMNO bercadang untuk melaksanakan kepimpinan ulama?
Adakah UMNO mahu ulama menjadi presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden serta menduduki kerusi majlis tertinggi UMNO?
Adakah UMNO bercadang untuk melaksanakan negara Islam mengikut versi PAS yang dibawakan sebelum ini?
Adakah UMNO bercadang untuk melaksanakan hudud mengikut versi PAS yang dibawakan sebelum ini?
Dan di mana sebenarnya para pemimpin UMNO meletakkan ulama dalam parti mereka?
Komentar Roketkini