Cuti-Cuti Malaysia 2014: Pengkalan Kubor
PRK DUN PENGKALAN KUBUR - BERI PELUANG KEPADA PAS PULA UNTUK RAMPAS KERUSI BN
UJIAN besar menanti PR, khususnya PKR dan PAS sejurus PR baru saja bergelut dengan krisis MB Selangor. Meskipun jalan penyelesaian telah tercapai, namun tiada siapa boleh menjamin sedikit luka yang dialami semenjak krisis di Selangor ini masih belum sembuh.
Kini, PR khususnya PKR dan PAS diuji lagi di 'bumi PAS' Kelantan. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, hari ini. Allahyarham meninggal dunia pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia. Ertinya, satu PRK terpaksa diadakan dan kawasan itu adalah milik PKR bagi dua penggal yang lalu.
Pada PRU 12, calon PKR tewas di tangan Bn dengan majoriti hanya 100 undi sahaja. Malangnya dalam PRU 13 yang lalu, calon PKR terus menunjukkan prestasi yang amat teruk sehingga tewas lagi dengan majoriti yang berganda besarnya iaitu 1, 736 undi. Ertinya, kawasan itu bukan lagi kawasan yang selamat buat PKR tetapi mungkin selamat buat PAS. Jangan ditanya mengapa jadi begitu kerana politik di Kelantan amat sukar untuk dibaca. Bahkan di dalam PRU 13 yang lalu juga menyaksikan beberapa Kerusi PAS turut jatuh ke tangan Bn.
Kali ini PR diberi peluang untuk membuktikan bahawa PR boleh bersatu walaupun baru sahaja mengalami krisis. Tidak mustahil Kerusi tersebut boleh dirampas asalkan kedua-dua pihak berlapang dada dan belajar dari kelemahan strategi yang terdahulu. Para penyokong dari kedua-dua parti iaitu PKR dan PAS mesti sanggup berlapang dada jika ingin merampas Kerusi tersebut.
Aku berpendapat sudah sampai masanya PKR memberi peluang kepada PAS bertanding di Dun Pengkalan Kubur di mana PKR telah pun tewas dua kali berturut-turut di situ. PKR perlu berkorban jika serius ingin melihat Kerusi tersebut dirampas semula oleh PR. Buang sikap ego dan zahirkan sikap merendah diri kepada PAS kerana kita ada asas untuk mengalah. Tentunya PAS bersedia untuk menggantikan PKR di situ. Aku yakin jentera PAS amat terlatih di Kelantan dan mereka mempunyai kelebihan selaku pemerintah untuk merampas Kerusi berkenaan.
PKR harus menyedari kita ada tugas berat yang lain iaitu untuk menyelesaikan banyak masalah di dalam parti terutamanya di Selangor. Jangan kita bebankan tugas ini kepada pimpinan Pusat yang sekarang ini sedang bertungkus lumus untuk memperbaiki semula krisis di Selangor termasuk beberapa kemelut yang berlaku sewaktu pemilihan parti baru-baru ini. PAS dilihat lebih selesa dan tenang sekarang, maka eloklah serahkan kepada parti itu untuk berdepan dengan Umno/Bn dan PKR hanya perlu membantu semampu mungkin agar kita sama-sama dapat membuktikan bahawa PKR dan PAS bersedia bersatu apabila berdepan dengan musuh nan satu.
Mahu tidak mahu, suka atau tidak, kita dalam PKR harus terima bahawa kita ada tugas yang lebih mencabar. Tumpukan isu di Selangor dan pulihkan semula keyakinan rakyat kepada parti kita. Salah satu jalannya adalah kita bersedia untuk membantu kejayaan rakan kita PAS di dalam merebut Kerusi ini. InsyaAllah, pengorbanan kita ini pasti akan membuka kembali perpaduan sesama kita yang baru-baru ini agak terjejas.
0 comments:
Post a Comment