Khamis, 30 Jun 2016
Read More
Pakatan Harapan pertahan AMANAH
Ahli panel forum mengenai Parti Amanah Negara (AMANAH), termasuk wakil dari PKR dan DAP, mempertahankan AMANAH sebagai sebuah parti yang baru ditubuhkan, walaupun PSM menyasarkan keseluruhan pembangkang.
Setiausaha organisasi kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata AMANAH, sebuah parti serpihan PAS, tidak boleh dinilai dengan keputusan dua pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun lalu.
Sudah tentu, katanya, terdapat beberapa kelemahan tetapi menegaskan ia adalah kelemahan yang boleh diperbaiki dan pihaknya boleh membantu untuk menambahbaik AMANAH dalam jangka masa panjang.
"Tetapi adakah kita menilai AMANAH sekarang, hanya setahun selepas ia ditubuhkan?" tanya Loke dalam forum itu di Petaling Jaya malam tadi.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution pula berkata membina sesebuah parti dari mula, dengan sumber yang terhad dan berdepan dengan parti pemerintah yang kuat, adalah bukan satu tugas yang mudah.
Saifuddin berkata AMANAH dan Pakatan Harapan adalah permulaan yang baik, selagi mereka tidak mempunyai "sindrom penafian", dan bersedia untuk mengakui mereka mempunyai tanggungjawab yang besar.
'AMANAH ada potensi'
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar juga berkata AMANAH mempunyai potensi, selagi ia disokong oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.
Hisomuddin memetik kempen parti yang baru ditubuhkan itu di kedua-dua PRK, yang menerima banyak bantuan dari DAP di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Kempen tersebut, katanya, walaupun masih ada kelemahannya, adalah jauh lebih lebih berjaya daripada apa yang berlaku semasa pilihan raya negeri Sarawak, di mana setiap parti pembangkang seolah-olah berkempen secara bersendirian.
AMANAH, tambahnya, perlu mampu meyakinkan dan menjelaskan kepada pengundi bahawa mereka mewakili Pakatan Harapan, dan yang terpenting kepada pengundi atas pagar.
Bagaimanapun, ahli Jawatankuasa Kerja Pusat PSM, S Arutchelvan berkata, ianya bukan hanya mengenai AMANAH, tetapi ianya adalah mengenai Pakatan Harapan secara keseluruhannya.
AMANAH, katanya, adalah hasil produk keadaan, sambil menambah bahawa masalahnya bukannya AMANAH tetapi Pakatan Harapan.
Beliau juga berkata, dengan keadaan mereka seperti sekarang, parti pembangkang akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Terdapat pertembungan banyak penjuru dalam kedua-dua PRK tersebut, dengan BN menang besar.
AMANAH mengatasi PAS dalam jumlah undi yang diperolehinya di PRK Sungai Besar, tetapi berada di belakang PAS dalam jumlah undi di PRK Kuala Kangsar.
malaysiakini.